Mana maruah Umno bila julang ‘jasa’ DAP?

- Advertisement -

HULU SELANGOR: PERIKATAN NASIONAL (PN) adalah rumah baharu untuk bukan sahaja orang Melayu, bahkan juga orang Cina dan India berlindung menggantikan Barisan Nasional (BN) selama ini.

Bekas Pengerusi Umno Negeri Selangor, Tan Sri Noh Omar sehubungan itu menyeru rakyat pelbagai bangsa agar berpindah ke rumah baharu ini ketika berucap pada Ceramah Umum PN sempena PRK N.06 DUN Kuala Kubu Bharu, di sini malam tadi

Dalam ucapan itu, beliau memuji GERAKAN kerana memberi laluan bertanding kepada BERSATU demi melihat kemenangan PN, berbanding BN yang membuat keputusan tanpa berunding dengan MCA.

“Ini kerusi MCA. Tiba-tiba buat keputusan tanpa berunding dengan MCA. Mana maruah MCA? Oleh itu, saya salute, saya tabik MCA. Mereka ada maruah menjaga integriti mereka, maka tak turun berkempen hari ni. Ini maruah MCA bukan macam maruah Umno.

“Minta maaflah, saya tak salahkan kawan yang sedang berkempen. Tapi maruah Umno ni di mana? Tiba-tiba Presiden Umno kata, Umno kena ucap terima kasih, nak balas budi DAP. Bodoh. Apa jasa DAP?” persoal beliau.

Beliau mengimbas usaha memastikan DAP menjadi pembangkang yang dilakukan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan juga Tan Sri Muhyiddin Yassin hingga sanggup berundur dengan memberi laluan kepada Umno ke jawatan itu.

Sedangkan katanya, pemimpin Umnolah yang telah menjatuhkan Muhyiddin di mana hal tersebut menunjukkan jiwa besar sebagai pemimpin, berbanding pemimpin Umno kini bertindak sebaliknya apabila mengangkat DAP.

“Maknanya, perjuangan Umno hari ini telah lari daripada perjuangan asal, ini kita kena lihat. Sebab itulah ayuh kita kembali kepada PN yang akan menjadi rumah baharu, tunjang baharu, kapal orang Melayu, Cina, India dan rakyat Malaysia ini,” seru beliau.

Pemimpin berpengalaman ini turut mempersoalkan maruah Umno apabila banyak jawatan-jawatan di peringkat Kerajaan Tempatan dan kampung diberikan hanya sedikit kepada orang Umno berbanding Pakatan Harapan (PH).

Malah, beliau menerangkan mengenai bahaya DAP antaranya hasrat mengadakan Pilihan Raya Kerajaan Tempatan di mana itu akan membawa penguasaan parti tersebut ke kawasan-kawasan bandar. – HARAKAHDAILY 1/5/2024

- Advertisement -