MB Perlis tidak ditahan SPRM

Beri kerjasama baik kepada siasatan SPRM

- Advertisement -


KUALA LUMPUR: Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli mengesahkan bahawa beliau telah selesai memberi keterangan bagi membantu proses siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di ibu pejabat agensi itu di Putrajaya, hari ini.

- Advertisement -

Beliau sebelum itu disahkan Pengerusi Jawatankuasa Penerangan Negeri Perlis, Ustaz Muhammad Azmir Azizan telah hadir bagi siasatan tersebut yang berlangsung selama tiga jam bermula jam 10:00 pagi dan tamat pada jam 1:00 tengah hari tadi.

“Beliau (Mohd Shukri) hadir memberi keterangan untuk membantu proses siasatan dan tidak ditahan oleh SPRM. Beliau telah dibenarkan pulang selepas selesai beri keterangan (tersebut),” kata Azmir ketika dihubungi HarakahDaily hari ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dato’ Sri Azam Baki menurut laporan sebuah portal berita, telah mengesahkan kehadiran Mohd Shukri di ibu pejabat agensi berkenaan di mana portal tersebut juga melaporkan Menteri Besar Perlis itu ditahan SPRM.

Mohd Shukri bagaimanapun memaklumkan telah selesai memberi keterangan dan membuat penegasan bahawa akan terus memberikan kerjasama yang baik kepada SPRM dalam membuat siasatan berkaitan.

Beliau difahamkan hadir memberi keterangan berhubung kes siasatan ke atas anak lelakinya di bawah Seksyen 53(3) Akta SPRM yang ditahan reman sebelum dilepaskan dengan jaminan SPRM baru-baru ini.

Alhamdulillah, selesai memberi keterangan. Penting untuk mencari dan dapatkan berita yang sahih. Jangan jadi penyebar kepada berita palsu. Seperti yang saya tegaskan, saya akan terus memberikan kerjasama yang baik kepada SPRM dalam membuat siasatan.

“Tiada apa yang perlu dibimbangkan. InsyaAllah. Terima kasih atas komen yang baik-baik, mendoakan urusan saya dipermudahkan. Semoga doa-doa yang baik ini juga berbalik kepada anda,” ujar beliau di media sosialnya. – HARAKAHDAILY 30/4/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -