MB Perlis: Pimpinan PAS kecam laporan Malaysiakini

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pimpinan PAS membidas laporan portal berita Malaysiakini dengan tajuk ‘SPRM tahan MB Perlis’ yang berunsur untuk menimbulkan prasangka berbanding keadaan sebenar konteks kejadian.

Malah, laporan tersebut juga disusun secara bermuslihat bersandarkan reaksi yang diperolehi daripada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dato’ Seri Azam Baki.

Ketua Penerangan PAS, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari dalam reaksinya kepada laporan itu telah memberi tutorial percuma dengan menegaskan bahawa ‘dipanggil untuk siasatan SPRM’ adalah berbeza dengan ‘ditahan oleh SPRM’.

“Wartawan pun tak mahir dalam Bahasa Melayu, apa nak jadi ni? Sepatutnya wartawan yang biasa berinteraksi menggunakan Bahasa Melayu boleh membezakan dua ayat (dinyatakan) ini.

“Lainlah calon PRK dari parti tertentu, yang hanya ada pengalaman bekerja dalam partinya sahaja. Tidak pelik jika tidak mahir berbahasa Melayu,” bidas Ahli Parlimen Pasir Mas itu disulami sinikal.

Ketua Pemuda PAS, Ustaz Afnan Hamimi Dato’ Taib Azamudden pula dalam reaksinya kepada laporan sama turut menempelak Malaysiakini dan menegaskan bahawa Menteri Besar Perlis hanya dipanggil beri keterangan, bukannya ditahan.

“Apa tujuan Malaysiakini tulis tajuk berita ‘SPRM Tahan MB Perlis’? Adakah untuk campak persepsi negatif? Sepatutnya tajuk berita ditulis ‘SPRM ambil keterangan MB Perlis,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Alor Setar.

Beliau memetik kes tahun 2021 di mana seorang editor Malaysiakini dipanggil oleh pihak polis untuk beri keterangan dan portal berita itu menyiarkan laporan dengan tajuk, ‘Polis panggil wartawan Malaysiakini bantu siasatan’.

“Kenapa tak ditulis ‘Editor Malaysiakini ditahan polis’? Kenapa ada dua bentuk pemberitaan terpilih untuk satu situasi yang sama?” ujarnya mempersoal etika pelaporan portal tersebut.

Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad pula dalam reaksinya dengan memuat naik tangkap layar laporan portal itu dan media sosial pihak MB Perlis menyelar dengan coretan, ‘Dulu kini dan selamanya, inilah cara pemberitaannya’. – HARAKAHDAILY 30/4/2024

- Advertisement -
- Advertisement -