Jeli terima Anugerah ASEAN Clean Tourist City Standard

- Advertisement -

KOTA BHARU: Majlis Daerah Jeli berjaya memenuhi kriteria penilaian ASEAN Clean Tourist City Standard sekali gus terpilih menerima Anugerah ASEAN Clean Tourist City Standard (2024-2026) peringkat kebangsaan.

- Advertisement -

Majlis penganugerahan diadakan di Cyberview Resort & Spa Cyberjaya disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Roslan Abdul Rahman.

Lawatan panel Pejabat MOTAC pada tahun 2023 membuat penilaian tujuh kriteria iaitu pengurusan alam sekitar, kebersihan, pengurusan sisa, kesedaran perlindungan alam sekitar dan petunjuk garis kebersihan.

Selain itu Anugerah ASEAN Clean Tourist City Standard turut membabitkan elemen ruangan hijau, keselamatan kesihatan dan keselamatan serta keselamatan bandar termasuk infrastruktur dan kemudahan pelancongan.

Standard Pelancongan ASEAN merupakan suatu ketetapan piawaian oleh negara-negara di rantau Asia Tenggara bagi meningkatkan mutu perkhidmatan dalam industri pelancongan serantau.

Ia selaras dengan Pelan Pelancongan Strategik ASEAN 2016-2025 untuk menjadikan ASEAN sebagai destinasi unggul di peringkat antarabangsa selain panduan menyediakan perkhidmatan berkualiti kepada pelancong.

Terdapat sembilan Standard Pelancongan, antaranya ASEAN Green Hotel Standard, ASEAN Homestay Standard, ASEAN Community Based Tourism Standard dan ASEAN Clean Tourist City Standard.

Pengiktirafan tersebut khusus kepada komuniti tempatan dan pelancongan.

Jeli juga sebelum ini merangkul anugerah 10 Bandar Paling Bahagia di Malaysia tahun 2024, di tempat kedua selepas Cameron Highlands Pahang.

Program tersebut pada Mac lalu diadakan sempena Sambutan Hari Kebahagian Sedunia Peringkat Kebangsaan 2024 yang dianjurkan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia).

Mengulas perkembangan itu Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah merakam ucapan tahniah kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) terbabit.

“Tahniah Majlis Daerah Jeli kerana menerima Anugerah Standard Pelancongan ASEAN Peringkat Kebangsaan dari MOTAC.

“Tahniah juga Majlis Daerah Jeli diiktiraf Bandar Paling Bahagia dan penduduk Jeli,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/4/2024

- Advertisement -