Buku peraturan sekolah YIK ditambah baik

- Advertisement -

TUMPAT: Yayasan Islam Kelantan (YIK) melancarkan buku peraturan sekolah setelah dibentang dalam pertemuan membabitkan guru-guru disiplin.

- Advertisement -

Pegawai Latihan dan Kepimpinan YIK, Mohd Bahruddin Husin berkata, buku berkenaan dilancarkan YIK beberapa tahun lalu dan beberapa pindaan baru dibuat pada tahun 2022.

Katanya, ia bertujuan untuk memasukkan perkara baru berkaitan disiplin seperti rokok elektronik dan pendedahan status pelajar di media sosial.

“Setakat ini belum ada kesalahan besar berkaitan jenayah membabitkan pelajar-pelajar sekolah YIK.

“Namun ibu bapa serta guru perlu memantau pelajar agar berterusan patuh disiplin,” katanya selepas majlis Penyampaian Watikah Badan Kepimpinan Sekolah dan Pelancaran Usrah Sekolah Menengah Ugama (SMU) (Arab) Bustanus Saadah Morak hari ini.

Sempena majlis itu seramai 124 pelajar menerima watikah masing-masing disampaikan Bahruddin dan Pegawai Perhubungan Sekolah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat, Inspektor Mohd Hanif Mat Jusoh.

Antara yang menerima watikah iaitu pengawas sekolah, penggerak badan dakwah, pengawas Pusat Sumber, pengawas Skim Pinjaman Buku Teks, pembimbing rakan sebaya, ketua dan penolong kelas.

Mohd Bahruddin juga berkata, program penyampaian watikah tersebut sebagai motivasi kepada pelajar yang terpilih agar lebih bersemangat membimbing pelajar lain di sekolah. – HARAKAHDAILY 30/4/2024

- Advertisement -