Bandar Baru Tunjong mercu tanda baharu Kelantan

Dato' Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud mempengerusikan mesyuarat Anggota Perbadanan Bandar Baru Tunjong di Bilik Mesyuarat Utama, PBBT, hari ini.
- Advertisement -

KOTA BHARU: Dalam tempoh 10 tahun akan datang Bandar Baru Tunjong bakal menjadi mercu tanda baharu Kelantan sebagai pusat pertumbuhan ekonomi serta pentadbiran.

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, hasrat berkenaan akan direalisasikan menerusi Rancangan Kawasan Khas (RKK) Bandar Baru Tunjong 2035 yang bermula tahun 2022.

Katanya, pembangunan Bandar Baru Tunjong melibatkan kawasan seluas 1,779.8 hektar.

“Insya-Allah, Bandar Baru Tunjong akan menjadi mercu tanda dan pusat pertumbuhan ekonomi negeri bagi memberi manfaat kepada rakyat,” katanya pada kenyataan di laman sosialnya hari ini.

Sebelum itu beliau mempengerusikan mesyuarat anggota Perbadanan Bandar Baru Tunjong (PBBT).

Sehingga sekarang banyak jabatan dan agensi kerajaan beroperasi di Bandar Baru Tunjong termasuk pejabat Yayasan Islam Kelantan (YIK), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Tanah dan Galian Persekutuan, FAMA, Bomba dan Penyelamat dan Kompleks Mahkamah Sivil serta Syariah.

Selain itu Wisma Persekutuan baharu pada peringkat akhir pembinaan apabila beroperasi nanti akan menempatkan pejabat agensi kerajaan Pusat dan negeri.

Malah Bandar Baru Tunjong merupakan stesen akhir Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang giat dibina sekarang.

Bandar Baru Tunjong juga terdapat zon automobil yang menempatkan bengkel dan ruang pameran kenderaan termasuk Toyota, Proton, Honda dan pelbagai lagi.

Menteri Besar juga berkata, pembangunan di lokasi tersebut menjadi fokus kerajaan negeri untuk membangunkan bandar baru secara lebih tersusun dan lengkap dengan pelbagai kemudahan.

“Selain itu kerajaan negeri juga memberi tumpuan terhadap projek pembangunan Madinatus Salam dan Madinah Ramadan di Tunjong,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 30/4/2024

- Advertisement -