Adakah Perdana Menteri juga boikot PRK KKB? 

Fahmi dinasihat 'upgrade' maklumatnya kepada talian 5G

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil dilaporkan memberi bayangan bahawa Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim tidak akan turun ke PRK N.06 DUN Kuala Kubu Bharu (KKB).

- Advertisement -

Ketua Penerangan PAS, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari sehubungan itu segera mengemukakan pertanyaan kepada rakan sejawat yang juga merupakan Ketua Penerangan PKR dan Jurucakap Kerajaan Perpaduan tersebut. 

“Persoalan saya, kalau Fahmi menyatakan pemimpin PAS boikot PRK KKB kerana tidak hadir penamaan calon, adakah PM juga sedang boikot PRK KKB?” tanya beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas kepada Ahli Parlimen Lembah Pantai itu. 

Fahmi terdahulu mempersoalkan keberadaan para pemimpin PAS Pusat di Perlis dan tidak di KKB pada Sabtu lalu, lantas dijawab Fadhli mengenai penganjuran Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Pusat di negeri itu yang dirancang lebih awal. 

“Dalam masa sama kita juga nak ingatkan Fahmi bahawa Dato’ Seri (Muhammad) Sanusi (Md Nor) ada turun ke sana (KKB), Datuk Ustaz Idris Ahmad juga ada turun. Dato’ Seri Sanusi adalah Ketua Pengarah Pilihan PAS, Ustaz Idris adalah Naib Presiden PAS. 

“Malah, masa hari penamaan calon, seluruh pimpinan PAS Selangor hadir berada di sana,” ujar Fadhli menjentik spekulasi cuba dimainkan Fahmi yang dilihat banyak membangkitkan perkara secara tidak matang mutakhir ini. 

Fahmi ketika memaklumkan kemungkinan Anwar tidak turun berkempen bagi calon Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao daripada DAP itu menyatakan bahawa Anwar turut tidak berbuat demikian sebelum-sebelum ini.

“Kebiasaannya, untuk PRK dalam banyak siri sebelum ini, Perdana Menteri tak turun. Ini bukan sahaja amalan dalam pentadbiran sekarang, tetapi pentadbiran-pentadbiran sebelum ini,” katanya kepada media di KKB, semalam.

Bagaimanapun berdasarkan rekod PRK yang diadakan sepanjang tahun lepas iaitu di DUN Simpang Jeram dan Parlimen Pulai, Johor serta DUN Pelangai, Pahang didapati bahawa Anwar ada turun berkempen.

Tindakan Fahmi menghadapkan PAS kepada persoalan tersebut mungkin sebagai mengalihkan konflik boikot yang membelenggu PH bermula dari penduduk kaum India, MIC dan MCA, namun dinafikan pemimpin tertinggi pakatan itu.

Namun, Fahmi dilihat semakin ‘koyak’ apabila Sanusi menyatakan wujud perpecahan dalaman melibatkan komponen PH dan Barisan Nasional (BN) menyebabkan beliau menggesa Menteri Besar Kedah itu supaya diam.

“Saya rasa Menteri Komunikasi ni agak perlahan sikit maklumat yang diperolehinya. Beliau perlu upgrade (naik taraf) kepada talian 5G,” sindir Fadhli kepada Fahmi yang dilabel warga media sosial banyak melakukan aksi komedi. – HARAKAHDAILY 30/4/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!