KUALA TERENGGANU: Terengganu akan cuba mempertingkatkan lagi dari sudut pemerkasaan pelaksanaan undang-undang jenayah syariah, kata Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Sehubungan itu, ujarnya, kerajaan negeri sedang dalam proses pertimbangan untuk melaksanakan hukuman sebat di khalayak ramai.
Menurutnya, perkara itu perlu melalui beberapa prosedur sebelum ia dilaksanakan.
“Sebenarnya kalau kita tengok dari semangat serta roh hukuman ke atas orang yang melakukan jenayah dalam undang-undang jenayah Islam ini ia mesti dilaksanakan di khalayak ramai, cuma di khalayak ramai itu adalah subjektif.
“Adakah di khalayak ramai itu di kawasan umum, pasar, masjid atau apa sahaja hatta kalau dilaksanakan di penjara sendiri pun sebenarnya disaksikan oleh khalayak yang tertentu juga.
“Jadi di atas dasar itu kita laksanakan dulu apa yang telah sedia ada ataupun kalau ada penambahbaikan kita akan lihat pada semasa ke semasa,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Bantuan Pendahuluan Nafkah Bahagian Sokongan Keluarga Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu Siri 1 Tahun 2024, di sini, hari ini.
Seramai 16 orang menerima bantuan pendahuluan nafkah daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) berjumlah RM27,000. Hadir sama Ketua Hakim Syarie Terengganu, Dato’ Wan Mohd Zamri Wan Mohd.
Menurut Mohd Zamri pula, peruntukan sedia ada adalah di bawah kuasa hakim yang menentukan di mana tempat pesalah tersebut dijatuhkan hukuman.
Beliau berkata, berdasarkan peruntukan Enakmen Jenayah Syariah Terengganu, ia akan dilaksanakan oleh pihak penjara.
“Apabila hakim tidak menyebut di mana ia disebat automatik ia disebat dalam penjara sehinggalah diperintahkan sebaliknya oleh hakim. Disebatkan di masjid atau mahkamah atau di tempat khalayak umum,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/4/2024