MAIK anjur solat Istisqa’ di Dataran Masjid Muhammadi

- Advertisement -

KOTA BHARU: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) mengadakan solat sunat Istisqa’ bagi memohon hujan berikutan kemarau yang agak panjang melanda negeri itu.

- Advertisement -

Seramai 500 jemaah menyertai solat sunat di Dataran Masjid Muhammadi Kota Bharu di sini hari ini. Solat berkenaan diimamkan imam Masjid Muhammadi.

Turut hadir Timbalan Yang Dipertua MAIK Dr Hasnan Ramli; Setiausaha MAIK Muhamad Rasani Ramli, Imam Besar Negeri Muhammad Hana Pizi Abdullah, pegawai MAIK, imam dan penduduk tempatan.

Solat diadakan jam 8.30 pagi, manakala khutbah disampaikan Imam 2 Masjid Muhammadi Kota Bharu Ustaz Nik Mohd Afif Azhan Nik Mohd Naidi.

Beliau berharap umat Islam sentiasa memohon keampunan daripada Allah dan menghadapi ujian dengan penuh keredaan.

Beliau juga mengajak ahli-ahli jemaah bermuhasabah dan menerima ujian serta merenung kelalaian diri dalam mematuhi perintah dan meninggalkan larangan-Nya.

Sementara itu MAIK turut menggalakkan kesemua masjid di seluruh Kelantan mengadakan solat sunat Istisqa’ sekiranya cuaca panas masih berpanjangan.

Pada akhirnya Ramadan lepas kerajaan negeri menganjurkan solat sunat Istisqa di seluruh Kelantan. Berikutan itu pada pagi 1 Syawal hujan agak lebat turun di kebanyakan tempat.

Malah semalam hujan agak lebat turun di Kuala Krai, Jeli dan Rantau Panjang. 

Sungai Kelantan juga kelihatan agak keruh yang menggambarkan hujan lebat berlaku di kawasan hulu. – HARAKAHDAILY 29/4/2024

- Advertisement -