LRT bakal diwujudkan di Pulau Langkawi

- Advertisement -

ALOR SETAR: Kajian bagi mewujudkan sistem tren Transit Aliran Ringan (LRT) di Langkawi akan diadakan bagi membolehkan sistem berkenaan dilaksanakan di pulau pelancongan tersebut.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi dan Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Dr Haim Hilman Abdullah memaklumkan perkara itu di Wisma Darul Aman, hari ini.

ADUN Jitra itu memberitahu, kajian terbabit akan dilakukan oleh Syarikat Royal Eco Train Development (RETD) dari Korea dan akan mengambil masa sekurang-kurangnya enam bulan.

“Syarikat Royal Eco Train Development (RETD) dari Korea Selatan dipilih bagi melaksanakan kajian projek ini. Kajian ini dijangka siap dalam tempoh enam bulan,” ujar beliau dalam sidang media itu.

Jelas Haim, RETD bakal bekerjasama dengan Permodalan Kedah Berhad (PKB) dan Syarikat Q-Plex untuk mengkaji sudut teknikal, geografi dan impak projek itu khususnya kepada ekonomi setempat.

Tambah beliau, tren LRT bakal diwujudkan itu permulaan perkhidmatannya disasarkan dari Terminal Feri Kuah ke Pantai Chenang sebelum dikembangkan ke destinasi pelancongan lain sekitar Langkawi.

Lanjutan daripada hasil dapatan kajian itu nanti terang beliau, akan menentukan panjang jajaran, stesen dan prasarana berkaitan fasa-fasa projek yang dirancang tersebut.

Majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) diwakili ketiga-tiga pihak berkenaan disaksikan Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor. – HARAKAHDAILY 29/4/2024

- Advertisement -