Kartel di Maktab Mahmud: Tuduhan, video lama

- Advertisement -

ALOR SETAR: Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan Negeri, Ustaz Mohd Azam Abd Samat menafikan Lembaga Maktab Mahmud terlibat dengan kartel.

- Advertisement -

Jelasnya, isu dibangkitkan itu adalah fitnah dan tidak berasas, malah video tular di media sosial kejadian pertengkaran dua individu yang didakwa di institusi tersebut, adalah rakaman lama.

Video berdurasi hampir empat minit itu memaparkan pertengkaran membabitkan kartel yang kononnya mengawal projek-projek cawangan Maktab Mahmud di seluruh Kedah bernilai jutaan ringgit.

“Video terbabit sebenarnya melibatkan isu peribadi kakitangan dan setahu saya video lama tahun lepas yang sudah viral sebelum ini. Jadi kenapa tular semula. Nak dakwa apa?

“Itu masalah peribadi dan setahu saya nasihat serta tindakan telah diambil oleh ketua jabatan,” kata Azam yang juga Pengerusi Lembaga Maktab Mahmud.

Jelasnya, semua projek di institusi itu dibuat secara tender terbuka dan tidak ditentukan oleh lembaga tersebut, malah tidak juga melibatkan orang politik, sebaliknya melalui panel peringkat kerajaan negeri.

“Saya telahpun memaklumkan kepada Setiausaha Lembaga Maktab Mahmud untuk membuat laporan polis,” – ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 29/4/2024

- Advertisement -