Ketiadaan pemimpin PAS di KKB: Fadhli jawab Fahmi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pegawai yang ada di sekeliling Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil perlu memaklumkan kepadanya bahawa PAS mengadakan Hari Terbuka Aidilftiri 2024 di Perlis, semalam.

- Advertisement -

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari menyatakan demikian susulan Fahmi yang juga Ketua Penerangan PKR mempersoalkan kenapa pemimpin-pemimpin PAS berada di Perlis semalam ketika hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu (KKB).

“Pegawai-pegawai yang ada di sekeliling menteri perlu maklumkan pada beliau bahawa PAS mengadakan Hari Terbuka Aidilftiri PAS 2024 semalam dan keputusan untuk mengadakannya pada tarikh dan tempat tersebut telah diputuskan di dalam Mesyuarat AJK PAS Pusat sebelum bulan Ramadan lagi.

“Manakala hebahan kepada umum telah diwar-warkan seawal 18 April (10 hari lepas) di Facebook rasmi PAS Perlis di mana pada waktu itu PERIKATAN NASIONAL sendiri masih belum memutuskan parti manakah yang akan bertanding mewakili PN di PRK Kuala Kubu Bharu,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, mengadakan sambutan hari terbuka sempena hari raya di negeri-negeri bukanlah satu amalan asing dalam PAS.

Untuk rekod, jelasnya tahun 2022 sambutan itu diadakan di Perak manakala tahun lepas 2023 diadakan di negeri Kedah.

“Jadi, tiada isu. Mungkin Menteri terlepas pandang kerana tidak mendapat jemputan.

“Saya fikir selepas ini PAS boleh memikirkan untuk turut menjemput pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan, cuma dibimbangi situasi janggal boleh berlaku kerana majlis ini atas nama parti bukannya kerajaan.

“Ketiadaan pemimpin PAS itu bukannlah satu isu besar pun,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas.

Beliau menjelaskan, pemimpin PAS Selangor keseluruhannya berada di Kuala Kubu Bharu manakala gerak kerja kempen sebelum ini pun sudah ramai pemimpin kanan PAS yang ikut serta.

“Apa yang perlu diberikan perhatian ialah pengumuman MCA bahawa parti itu tidak akan menyertai kempen, dan gesaan Ketua Pemuda UMNO bahawa ‘jangan pilih pemimpin hipokrit’ dan ‘hantar mesej yang jelas dalam pilihan raya’ ini.

“Semua pihak boleh meneka kepada siapa mesej itu dituju,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 28/4/2024

- Advertisement -