Kemahiran: Kelantan ambil berat masa depan anak muda

- Advertisement -

KOTA BHARU: Seramai 254 orang anak Kelantan telah mendapat pensijilan profesional pembangunan kerjaya sejak Program Penempatan Pekerjaan Industri dilancarkan lima tahun lalu.

- Advertisement -

Selama tujuh bulan pelatih berhempas pulas dalam program latihan berkenaan dan akhirnya layak mendapat sijil melalui pengiktirafan Sekolah Pendidikan Profesional dan Pendidikan Berterusan Universiti Teknologi Malaysia (UTM-SPACE).

Sehubungan itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat negeri, Zamakhshari Muhamad mengucapkan tahniah kepada anak Kelantan yang telah berjaya memperolehi sijil kemahiran tersebut.

Katanya, kerajaan negeri sentiasa mengambil berat mengenai masa depan anak muda di negeri ini dalam semua bidang termasuk kemahiran dan kerjaya.

“Kerajaan negeri telah meletakkan fokus ke arah Pemerkasaan Generasi Muda Kalis Masa Depan sebagai agenda utama pembentukan anak muda Kelantan,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Penganugerahan Pensijilan Profesional Pembangunan Kerjaya 0.5.

Seramai 40 orang peserta program berkenaan telah menerima sijil profesional masing-masing pada majlis yang dianjurkan dengan kerjasama UTM-SPACE di sebuah hotel di Kuala Lumpur hari ini.

Turut berucap pada majlis itu, Timbalan Pengarah Urusetia Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat Negeri Kelantan (U-BeS), Mohammad Firdaus Mohamed Nawi  dan Pengasas Program Pembangunan Insan, Dr Mohd Zamri Noordin.

Zamakhshari memberitahu, Generasi Kalis Masa Depan yang dimaksudkan ialah generasi yang mampu bertahan menghadapi pelbagai cabaran dari sudut kerjaya, ekonomi dan apa sahaja sehingga memberi cabaran besar pada mereka khususnya melibatkan integriti dan jati diri.

“Saya berharap anak-anak yang berada di sini adalah generasi yang dilengkapi dengan pelbagai ilmu dan kemahiran berfikir, kekuatan rohani agar mampu menghadapi masa hadapan yang banyak persaingan dan cabaran,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 28/4/2024

- Advertisement -