KOTA BHARU: Para penyokong dan pendukung PERIKATANAN NASIONAL diminta membantu kemenangan calon PN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kuala Kubu Bharu yang akan diadakan pada 11 Mei ini.
Ketua Dewan Muslimat PAS Kelantan, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, sebaik sahaja penamaan calon diadakan semalam, kempen pilihan raya telah bermula.
“Semua anggota parti dan komponen dalam PN perlu mengambil tanggungjawab untuk membantu calon kita yang bertanding,” katanya.
Anggota Parlimen Rantau Panjang itu juga berkata, pihaknya menyambut baik pencalonan pemangku Ketua Bahagian BERSATU Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut mewakili PN.
Jelasnya, pihaknya yakin pemilihan Khairul sebagai calon PN adalah yang terbaik, memandangkan beliau anak tempatan yang lebih memahami masalah penduduk setempat.
“Jika dia (Khairul) diberi peluang, maka beruntunglah penduduk Kuala Kubu Bharu kerana memilih calon anak tempatan sendiri dan mudah untuk ditemui.
“Kita faham, seorang wakil rakyat tempatan yang dipilih oleh rakyat untuk membawa isu rakyat amat bertepatan kerana mereka lebih memahami budaya serta isu yang berlaku di tempat sendiri untuk diperjuangkan,” ujarnya ketika dihubungi.
Sehubungan itu, beliau menyeru pengundi supaya memilih calon yang benar-benar dapat membantu rakyat dan negara.
Tambahnya, berikan isyarat kepada kerajaan PH di mana rakyat menolak calon mereka pada PRK nanti, kerana kegagalan kerajaan dalam menjaga amanah negara.
PRK Kuala Kubu Bharu diadakan susulan kematian penyandang daripada DAP, Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lalu akibat kanser.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK itu pada 11 Mei, manakala pengundian awal pada 7 Mei.
Pada penamaan calon PRK semalam menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon PH, PN, Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan calon Bebas. – HARAKAHDAILY 28/4/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!