HULU SELANGOR: Proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu (KKB) secara rasmi berlangsung mulai pukul 9 pagi ini di Pusat Penamaan Calon di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor, Kuala Kubu Baharu.
Bakal calon diberi tempoh sejam hingga 10 pagi bagi mengemukakan borang pencalonan, sebelum senarai calon yang layak bertanding diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Yuhanas Auree Kamaruddin di pusat penamaan calon itu.
PRK ini diadakan susulan kekosongan luar jangka selepas kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong pada 21 Mac lalu.
PERIKATAN NASIONAL (PN) iaitu mengumumkan Pemangku Ketua BERSATU Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut, 54 sebagai calon bagi PRK Dun Kuala Kubu Bharu.
Khairul Azhari yang juga anak tempatan merupakan seorang ahli perniagaan dan pernah menggalas tugas sebagai Ahli Majlis Daerah Hulu Selangor.
Sebelum bergerak ke pusat penamaan calon, beliau tiba di khemah kawasan penyokong PN di Dewan Merdeka sekitar jam 7.45 pagi.
Beliau diiringi Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang turut disertai Naib Pengerusi, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai dan Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu, Setiausaha Agung, Dato’ Seri Hamzah Zainudin serta Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato’ Dr Ab Halim Tamuri.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi PRK DUN Kuala Kubu Bharu pada 11 Mei manakala pengundian awal 7 Mei. – HARAKAHDAILY 27/4/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!