Lama berharap majlis PAS Pusat dianjur di Perlis

- Advertisement -

KANGAR: Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri PAS Pusat yang julung kali diadakan di Perlis adalah sangat bersejarah setelah sekian lama acara besar PAS Pusat dapat dianjurkan di negeri ini.

Al-Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin berkata, selama ini tidak dapat diadakan kerana kekangan jentera dan kewangan, namun setelah PAS menerajui negeri akhirnya ia dapat diadakan di Perlis.

- Advertisement -

Dalam majlis penuh meriah dihadiri ramai pimpinan dan rakyat tempatan termasuk dari luar Perlis itu, beliau mengajak untuk tidak melupakan kesengsaraan yang berlaku di bumi Gaza, Palestin.

“Walaupun kita berada di majlis hari raya tak sepatutnya kita lupa ada sahabat kita yang makan roti saja iaitu saudara se-Islam kita di Gaza. Mereka sedang dikepung dan ditekan dan susah untuk dapat makanan.

“Tapi kita alhamadulillah ada makanan, oleh kerana hubungan kita dengan mereka berdasarkan ukhuwah Islamiah, satu anggota yang sakit badan juga sakit,” katanya.

Mursyidul Am juga mengutarakan kebimbangan beliau mengenai situasi di Gaza, di mana laporan terakhir menunjukkan lebih dari 34,000 penduduk telah terkorban.

“Antara kisah tragis ialah seorang ibu hamil yang terkorban bersama dengan anak yang belum dilahirkan.

“Kita perlu menghargai perjuangan mereka yang berjuang mempertahankan tanah air di Palestin,” katanya lagi.  – HARAKAHDAILY 27/4/2024

- Advertisement -