2,098 sertai Kursus Perdana Haji di UMK

- Advertisement -

BACHOK: Seramai 2,366 orang rakyat Kelantan akan menunaikan ibadat haji tahun ini dan 2,098 daripadanya menyertai Kursus Perdana Haji yang diadakan di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Utama Bachok, di sini.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri,  Mohd Asri Mat Daud berkata kursus tersebut merupakan persediaan terakhir bagi jemaah yang terpilih sebelum berangkat menunaikan ibadat haji.

“Kerajaan negeri sentiasa mendoakan dan mengharapkan jemaah haji dari Kelantan berada dalam keadaan baik dan sihat serta boleh menjadi contoh kepada orang lain di sana,” katanya ketika berucap meraikan bakal-bakal haji di sini.

Sementara itu, wakil Pengurusan Lembaga Tabung Haji merangkap Ketua Bahagian Agensi Haji, Anuar Ahmad berkata, Tabung Haji akan menguruskan seramai 31,600 orang jemaah Malaysia ke tanah suci pada tahun ini.

Beliau berharap, semua bakal haji Malaysia akan mendapat manfaat ilmu ibadat haji yang lengkap melalui kursus-kursus yang dianjurkan.

“Kami percaya aktiviti praktikal dalam Kursus Perdana Haji ini akan dapat membantu bakal jemaah semua untuk bersedia menghadapi pelbagai situasi termasuk suasana tidak selesa serta serba kekurangan semasa kemuncak haji nanti yang melibatkan perhimpunan hampir tiga juta orang,” katanya.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Nazran Muhamad, Penasihat Undang-undang negeri, Dato’ Idham Abdul Ghani serta Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK), Dato’ Che Mohd Rahim Jusoh. – HARAKAHDAILY 27/4/2024

- Advertisement -