Konflik DAP-MCA makin parah di KKB

Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Khairul Azhari Saut sebagai calon PERIKATAN NASIONAL pada PRK DUN Kuala Kubu Bharu, malam tadi.
- Advertisement -

BELUM pun kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu (KKB) bermula secara rasmi esok, MCA dan Barisan Nasional (BN) terus menjadi mangsa serangan DAP.

- Advertisement -

Biarpun impian DAP bermati-matian mahu mempertahankan kerusi DUN tersebut, namun usaha itu dilihat semakin sukar. Malah samar.

DAP seperti hanya mengharapkan sokongan padu pengundi Cina dan tidak penduduk Melayu dan samar bagi kaum India.

Ini kerana KKB mempunyai demografi pengundi hampir setara. Pengundi Melayu sebanyak 46.4 peratus; Cina (30.7 peratus), India (18 peratus) dan lain-lain (5 peratus).

Namun, isunya apakah pengundi Cina kali pada PRK kali ini tetap memilih DAP. Sudah tentu agak sukar. Ini kerana KKB merupakan kubu kuat MCA sejak 1957 sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) 2008.

Malangnya, ketika calon DAP Pang Sock Tao bermati-matian menagih simpati pengundi Cina, mereka tidak segan silu pula melukakan perasaan penyokong MCA dan BN.

Keadaan itu turut disedari Ketua Pemuda MCA Kebangsaan Ah Soon. Pada lontaran di laman sosialnya semalam beliau mempersoalkan tindakan calon DAP mempersendakan MCA dan BN.

Katanya, calon DAP sehingga kini masih mengutuk BN dan segala salahnya kerana BN.

Oleh itu pesannya, “Jangan menggali buah bawang, carilah dulu buah kemiri; jangan asyik mengutuk orang, carilah dulu salah sendiri.

“Tak habis-habis BN dimaki, tak sudah-sudah MCA dikutuk,” ujarnya.

Mengakhiri catatan itu Soon yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor dan ADUN Yong Peng… maaflah untuk turun kempen di KKB.

“Soal turun kempen PRK untuk calon DAP di KKB? Bak kata Prabowo ‘sorry yeh’,” tambahnya.

Beliau turut menagih pandangan Ahli Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor Adam mengenai ucapan calon DAP di KKB. Apa pandangan anda?

Nah, sudah terang lagi bersuluh.

Malah MCA meminta pihak lain menghormati parti itu tidak turun padang membantu kempen calon DAP di KKB.

Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong pada kenyatan pula berkata, parti itu berpendirian tegas hanya akan turun berkempen jika calon BN bertanding pada pilihan raya tersebut.

Semangat BN

“Adakah salah MCA mempertahankan semangat BN? Telah dinyatakan dengan jelas, MCA hanya turun membantu sekiranya calon daripada BN.

Pada Jumaat lepas Jawatankuasa Pembangunan Politik MCA pada bermesyuarat mengambil keputusan untuk tidak terlibat dalam sebarang aktiviti kempen PRK DUN KKB.

Perkara tersebut jelas dan muktamad. Bagaimanapun bagi mengurangkan aib PH, pemimpin PKR Fahmi Fadzil dilapor berkata, keputusan MCA tidak membantu kempen calon DAP tidak akan mengganggu fokus jentera PH menghadapi PRK Kuala Kubu Bharu.

“Calon yang ditampilkan Pang Sock Tao mewakili DAP menjadi keutamaan seluruh jentera parti gabungan PH dan BN,” ujar Menteri Komunikasi.

Langkah MCA sebagai strategi pulang paku buat keras. Jelas kerajaan Madani bukan disertai MCA dan MIC, sebaliknya hanya Umno. Pemimpin Umno yang dapat laba berganda bukan MCA dan MIC.

Berdasar perkembangan itu tidak hairan ramai menganggap DAP memulakan langkah tempang di KKB. Makin jelas usaha DAP mahu mempertahan majoriti 4,119 undi makin berliku.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos 2023 DAP menang bergaya di Kuala Kubu Bharu. Mendiang Kee menewaskan calon PN, Teoh Kien Hong.

Apapun konflik MCA-DAP setidak-tidaknya memberi sinar buat calon Perikatan Nasional (PN) Khairul Azhari Saut. Sekiranya undi Melayu solid dan undi Cina berpecah, peluang PN di KKB makin cerah. 

Khairul dilihat mampu menebus maruah Kien Hong pada PRN lepas. Kita tunggu dan lihat. – HARAKAHDAILY 26/4/2024

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -