Demonstrasi tanda solidariti bersama rakyat Palestin

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) sokong tindakan Universiti Malaya (UM) membatalkan sebarang program melibatkan penceramah yang berideologi pro-Zionis Israel.

- Advertisement -

GAMIS turut melakukan demonstrasi ‘Mahasiswa Bersama Palestin’ sebagai tanda solidariti dengan rakyat Palestin dan juga sebagai respons terhadap kenyataan UM.

Presidennya, Imran Sulaiman berkata, demonstrasi itu bertujuan untuk menyuarakan penentangan terhadap ideologi yang tidak sejajar dengan nilai keadilan dan kebenaran.

“Perhimpunan pada hari ini untuk kami respons sebagai tanda sokongan mahasiswa dan kepada isu berhubung salah seorang pensyarah Amerika Syarikat (AS), Bruce Gilley yang tiba masuk ke dalam UM.

“Dalam masa yang sama Bruce telah menghebahkan bahawa Malaysia ini ialah suatu negara yang mempromosikan ‘Holocaust kedua’ dan juga bahawa Malaysia sebenarnya tidak aman kerana kita tidak bersama dengan AS, serta kita bersama Palestin.

“Tetapi hakikatnya, merekalah yang membentuk genosid ini. Merekalah yang melaksanakan dan merekalah yang menyebabkan terbunuh warga Palestin,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas ucapan demonstrasi secara aman di hadapan Dewan Tunku Canselor UM, di sini, petang tadi.

Menurut Imran, melalui respons daripada isu itu, pihak GAMIS mengeji sekeras-kerasnya pihak pentadbiran program dan UM.

Beliau mempersoalkan lagi bagaimana perkara itu berlaku dengan adanya jemputan luar pensyarah yang secara terang-terangnya pro-Israel Zionis boleh masuk ke dalam Universiti Malaya.

“Kalau dilihat dalam ucapan saya tadi, latar belakang (header) profil Bruce Gilley di platform X miliknya, itu pun dah menunjukkan lambang bendera Israel.

“Hari ini satu titik tanya kita, apa yang sebenarnya Universiti Malaya yang bawakan, apa yang sebenarnya UM bawakan agenda dalam kampus Malaysia ke institut pengajian tinggi (IPT) dan ke seluruh negara?

“Kalau kita faham universiti adalah tempat lahirnya mahasiswa yang bijak pandai intelektual. Maka pada bila (perkara ini) masuk ke satu agenda, maka ia akan merebak ke seluruh negara,” tegasnya.

Justeru, GAMIS menuntut beberapa perkra yang perlu diambil segera oleh pihak berwajib demi menyokong keadilan dan kebebasan bagi rakyat Palestin.

“Pertama, kami menggesa supaya keterjaminan dan memastikan IPT merupakan entiti yang bebas daripada mana-mana sokongan atau keterlibatan terhadap Israel, Zionis dan sekutu-sekutu mereka termasuklah Amerika Syarikat.

“Kedua, menggunakan pusat perkembangan ilmu, iaitu universiti, sebagai benteng utama untuk memperjuangkan kemerdekaan tanah Palestin sejajar dengan pendirian kerajaan Malaysia.

“Ketiga, Universiti Malaya harus bertanggungjawab dengan mendedahkan laporan sebenar tentang insiden yang berlaku dan mengambil tindakan keras terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam pelaksanaan program tersebut,” katanya.

Tambah beliau, pihak berkenaan perlu dilucutkan daripada jawatan yang membenarkan pro-Israel memasuki ke dalam negara.

Seterusnya, UM perlu menjadi ‘universiti contoh’ dalam memperjuangkan agenda kemerdekaan Palestin dengan merancakkan diskusi, wacana, kempen kesedaran dan demonstrasi solidariti sebagai tanda permohonan maaf atas insiden tersebut yang mendukung agenda untuk membebaskan negara Palestin.

“Kelima, kerajaan Malaysia melalui Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan institusi pengajian tinggi perlu meningkatkan kempen solidariti dan kesedaran serta mengecam tindakan zalim dan tidak berperikemanusiaan yang dilakukan oleh Zionis Israel terhadap Palestin.

“Akhir sekali, KPT perlu menjadikan insiden ini sebagai ‘wake up call’ untuk lebih tegas dan berhati-hati dalam memilih panel jemputan.

“Garis panduan yang jelas dan tegas perlu dikeluarkan dan dipatuhi oleh IPT seluruh Malaysia, serta menolak sekeras-kerasnya mana-mana individu yang terlibat dengan negara haram Zionis Israel daripada masuk ke Malaysia walaupun dalam pelbagai bidang yang berbeza bagaimana secara terang-terangnya,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 26/4/2024

- Advertisement -