Perlis komited bangun semula Pekan Lama Kangar

Asrul Aimran Abd Jalil
- Advertisement -

KANGAR: Kerajaan Perlis menegaskan komitmennya dalam memastikan kelangsungan aktiviti perniagaan di Pekan Lama Kangar dengan menyokong pembangunan yang sesuai menerusi Majlis Perbandaran Kangar (MPK).

- Advertisement -

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Asrul Aimran Abd Jalil, sebanyak RM910,000 diperuntuk kepada MPK untuk kerja pemindahan dan landskap bandar di sekitar negeri pada tahun ini.

“Ia bertujuan untuk mencipta suasana bersih, teratur dan indah yang akan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan perniagaan di negeri ini,” katanya ketika menjawab soalan Gan Ay Ling (PH-Indera Kayangan) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Asrul turut mengalu-alukan penglibatan swasta dan pertubuhan bukan kerajaan dalam usaha membangunkan Pekan Lama Kangar.

“Dalam merancang perancangan ini, kerajaan negeri mengambil kira dasar-dasar pembaharuan semula bandar yang sedia ada seperti yang tertera dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK12) dan Rancangan Fizikal Negara Ke-4 (RFN4).

“Cadangan menghidupkan semula aktiviti perniagaan di Pekan Lama Kangar turut diwujudkan dalam Rancangan Tempatan Majlis Perbandaran Kangar, Perlis 2035 (RT MPKPs 2035) dengan dicadangkan sebagai Nadi Kangar iaitu menjadi pemangkin kepada imej bandar Kangar sebagai Bandaraya Sejahtera,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 25/4/2024

- Advertisement -