PAWE wajar diwujud di peringkat jajahan

- Advertisement -

BACHOK: Komuniti warga emas di peringkat jajahan disaran mewujudkan jawatankuasa khas bagi menubuh Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) untuk memudahkan golongan berkenaan menjalankan aktiviti harian.

- Advertisement -

Bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Zailah Mohd Yusoff berkata, surat permohonan bagi mewujudkan PAWE boleh dihantar kepada kementerian terbabit.

Katanya, PAWE merupakan perkhidmatan bercorak pendampingan sosial (reaching out) dan pembangunan warga emas agar mereka memanfaatkan pengalaman dan ilmu yang ada.

“PAWE melibatkan kerjasama strategik antara Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dengan agensi lain serta NGO.

“Kita berharap penglibatan warga emas dapat membantu PAWE supaya aktif kerana ia sangat bermanfaat kepada penduduk setempat,” katanya ketika ditemui pada majlis Pemantapan Warga Emas Peringkat Negeri di sini petang semalam.

Program berkenaan dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga, Wanita dan NGO negeri, Rohani Ibrahim.

Turut hadir ADUN Pantai Irama, Mohd Huzaimy Che Husin; Pengerusi Assabiqun Kelantan Datuk Abdullah Ya’kub dan Pengerusi Assabiqat negeri, Rahimah Hussin.

Program yang diadakan di sebuah resort berlangsung dua hari, turut diisi dengan program pemantapan rohani, sembang santai, bacaan al-Quran dan persembahan kesenian.

Siti Zailah yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang berkata, tanggungjawab warga emas kepada masyarakat masih diperlukan kerana mereka mempunyai banyak pengalaman dalam pelbagai bidang dan kepakaran.

“Di tengah masyarakat warga emas berperanan sebagai ikon. Jadi kita harap penjawat awam yang sudah pencen tidak hanya duduk diam di rumah.

“Sebaliknya hendaklah manfaatkan pengalaman untuk berkongsi dengan masyarakat,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/4/2024

- Advertisement -