MB Kelantan kunjungi hormat Ketua Menteri Sabah

- Advertisement -

KOTA BHARU: Menteri Besar (MB) Kelantan Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud mengunjungi hormat rakan sejawatnya Ketua Menteri Sabah, Dato’ Seri Panglima Hajiji Noor di Kota Kinabalu.

- Advertisement -

Menurutnya, kunjungan hormat penuh mesra itu antara lain bagi mengeratkan hubungan dua hala dalam aspek pembangunan ekonomi dan pendidikan antara Kelantan dan Sabah.

“Awal pagi saya di Negeri Di bawah Bayu. Saya mengunjungi hormat kepada Ketua Menteri Sabah di Sri Gaya di Kota Kinabalu.

“Lawatan ini dalam rangka lawatan saya ke Sabah sempena Program Jelajah Penghayatan Membangun Bersama Islam bersama warga Kelantan di perantauan bagi Zon Sabah,” katanya pada catatan di laman sosialnya hari ini.

Turut hadir Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Mohd Ariffin Ariff, Setiausaha Kerajaan Sabah Datuk Sapar Untong dan anggota Exco Kerajaan Kelantan, Mohd Asri Mat Daud.

Mohd Nassuruddin juga berkata, pada pertemuan itu beliau menguar-uarkan pelaksanaan Tahun Melawat Kelantan (TMK) 2024 kepada kerajaan Sabah.

Awal minggu ini siri Jelajah Kepimpinan Penghayatan Membangun Bersama Islam yang disertai mantan Menteri Besar Dato’ Bentara Kanan Ustaz Ahmad Yakob meraikan perantau di Semporna.

Turut hadir ADUN Pasir Tumboh Abdul Rahman Yunus; ADUN Chempaka Nik Bahrum Nik Abdullah; ADUN Chetok Zuraidin Abdullah dan ADUN Gual Ipoh Bahari Mohd Noor.

Program tersebut dianjurkan Persatuan Anak Kelantan Perantauan Malaysia (PERAKAN) dengan kerjasama Pejabat Menteri Besar Kelantan.

Sehari sebelum itu rombongan pimpinan kerajaan negeri meraikan anak-anak perantau di Tawau. – HARAKAHDAILY 25/4/2024

- Advertisement -