Solat Jumaat: Perlis teruskan kempen kesedaran

Muhammad Azmir Azizan
- Advertisement -

KANGAR: Jumlah bilangan pelajar yang tidak hadir solat Jumaat hanya melibatkan jumlah kecil, kata Pengerusi Jawatan Kuasa Hal Ehwal Agama negeri, Ustaz Muhammad Azmir Azizan.

- Advertisement -

Menurutnya, walaupun kebanyakan pelajar tidak menetap di kariah masjid dalam negeri, namun ia tidak menjejaskan kehadiran mereka menunaikan solat Jumaat.

“Menurut data, sebanyak 21,985 orang pelajar lelaki beragama Islam sedang menuntut di 104 sekolah di seluruh Perlis.

“Hasil dapatan tinjauan awal ini, Jabatan Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs) mengenal pasti bahawa kebanyakan pelajar tidak menetap di kariah masjid tersebut, namun ianya tidak menjejaskan isu kehadiran solat Jumaat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Fakhrul Anwar Ismail (PAS-Bintong) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, hari ini.

Fakhrul meminta penjelasan kerajaan negeri berkaitan dapatan hasil rekod kehadiran pelajar sekolah ketika solat Jumaat di masjid-masjid dalam negeri oleh JAIPs dan agensi berkaitan.

Dalam pada itu, ujar Azmir, pihaknya akan terus mengambil cakna hal tersebut dengan meneruskan kempen-kempen kesedaran.

“Kempen ini akan dilakukan dengan kerjasama agensi seperti Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, sekolah-sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), persatuan penduduk, Penguatkuasa Agama, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK),” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 24/4/2024

- Advertisement -