‘Semoga Allah ganjari amal bakti mereka’

Ustaz Sabri Azit Sabri dan Ustaz Musoddak Ahmad sempat menziarahi ayah seorang mangsa nahas helikopter, semalam.
- Advertisement -

JERAI: Kepimpinan PAS Kedah antara yang turut menziarahi bapa mangsa nahas helikopter, Nor Rahiza Anuar di Jalan Pantai Murni, Yan, semalam.

- Advertisement -

Antaranya Setiausaha PAS negeri yang juga Ahli Dewan Negara, Senator Ustaz Musoddak Ahmad, Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim dan Ahli Parlimen Jerai, Ustaz Sabri Azit.

Allahyarham Nor Rahiza yang berasal dari Yan antara 10 mangsa yang terkorban pada nahas terbabit.

Dalam pada itu, Sabri melalui kenyataan di media sosialnya mendoakan agar semua mangsa yang terlibat menerima ganjaran dari Allah atas khidmat bakti yang dihulurkan.

“Semoga Allah ganjari amal bakti mereka dan tergolong bersama roh para solehin,” kata beliau

Pada kejadian semalam, tujuh kru HOM Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) dan tiga kru Fennec TLDM telah terkorban apabila dua helikopter yang mereka naiki terhempas di Pangkalan TLDM Lumut, Perak.

Sementara itu, Pesuruhjaya PAS negeri yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena, Dato’ Ahmad Yahaya melalui media sosialnya turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga 10 mangsa terlibat.

“Kemalangan yang mendukacitakan. Allah penentu segalanya. Semoga para pejuang yang terlibat dikurniakan sebaik-baik ganjaran di sisi-Nya,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 24/4/2024

- Advertisement -