Pimpinan Kelantan turun padang rai perantau di Sabah

- Advertisement -

KOTA BHARU: Anak-anak Kelantan yang merantau kerana bekerja di Sabah dan Sarawak tidak pernah dilupakan kerajaan negeri setiap kali sambutan Hari Raya Aidilfitri.

- Advertisement -

Kedudukan geografi yang jauh dengan dipisahkan Laut China Selatan tidak menghalang pemimpin kerajaan negeri turun padang menemui mereka bagi meraikan kedatangan Syawal.

Semalam, siri Jelajah Kepimpinan Penghayatan Membangun Bersama Islam (PMBI) yang diketuai mantan Menteri Besar Dato’ Bentara Kanan Ustaz  Ahmad Yakob meraikan perantau di Semporna.

Hadir sama ADUN Pasir Tumboh Abdul Rahman Yunus; ADUN Chempaka Nik Bahrum Nik Abdullah; ADUN Chetok Zuraidin Abdullah dan ADUN Gual Ipoh Bahari Mohd Noor.

Program tersebut dianjurkan Persatuan Anak Kelantan Perantauan Malaysia (PERAKAN) dengan kerjasama Pejabat Menteri Besar Kelantan.

Sehari sebelum itu rombongan pimpinan kerajaan negeri meraikan anak-anak perantau di Tawau. Dan hari ini program serupa berlangsung di Kota Kinabalu.

“Kehadiran rombongan pimpinan kerajaan negeri dari Kelantan sehingga ke Sabah secara tidak langsung dapat meningkatkan lagi hubungan dengan anak-anak perantau.

“Kemesraan dan keakraban yang sentiasa terjalin dapat meningkatkan hubungan dua hala antara pimpinan kerajaan negeri bersama warga Kelantan di perantauan,” kata wakil PERAKAN Tawau.

Malah, pada Ramadan lepas kerajaan negeri menganjur iftar perdana bersama anak perantau di Lembah Klang yang diadakan di Bangi. Turut hadir Menteri Besar Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassurudin Daud. – HARAKAHDAILY 24/4/2024

- Advertisement -