MAIK sasar lebih 20 masjid diiktiraf 5 bintang

- Advertisement -

KOTA BHARU: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) menyasarkan lebih 20 masjid di Kelantan diiktiraf sebagai masjid lima bintang.

- Advertisement -

Hasrat itu akan menjadi kenyataan sekiranya masjid yang bertaraf empat bintang konsisten melaksanakan program dan tadbir urus yang cemerlang.

MAIK mengiktiraf 21 masjid sebagai empat bintang, 194 masjid (tiga bintang), 318 masjid (dua bintang) dan 73 masjid (satu bintang).

Manakala lima daripada 611 masjid yang terdapat di Kelantan diberi anugerah penarafan lima bintang.

Yang Dipertua MAIK Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, penilaian masjid bertaraf lima bintang berdasar konsistensi melaksanakan program pengimarahan dan pengurusan berkualiti.

“Lima masjid mencapai masjid cemerlang diberi penarafan lima bintang,” katanya pada Pelancaran Program Tanwir Masjid Negeri Kelantan, di sini semalam.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Mohd Asri Mat Daud dan Timbalan Yang Dipertua MAIK, Dr Hasnan Ramli.

Masjid yang memperolehi penarafan lima bintang dalam Program Penarafan Masjid Tahun 2023 iaitu Masjid Muhammadi Kota Bharu, Masjid Ismail Petra Tanah Merah, Masjid Sultan Ismail Petra Mukim Banggol, Masjid Mukim Pangkal Melerek dan Masjid Mukim Pauh Sembilan. – HARAKAHDAILY 24/4/2024

- Advertisement -