Maghrib: Peniaga bukan Islam dialukan henti operasi

Mejar (B) Mansor Zakaria
- Advertisement -

ALOR SETAR: Arahan menghentikan operasi perniagaan khususnya di pasar malam menjelang waktu solat Maghrib, tidak tertakluk kepada peniaga bukan Islam.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Mejar (B) Mansor Zakaria berkata, walau bagaimanapun peniaga bukan Islam terutama yang menjalankan perniagaan di kawasan orang Islam digalakkan berbuat demikian.

“Peniaga bukan Islam yang menjaja di kawasan perniagaan orang Islam digalakkan mematuhi arahan itu kerana majoriti pengunjung adalah beragama Islam,” jelasnya di sini, hari ini.

Sementara, tambah beliau, peniaga atau penjaja bukan Islam yang berniaga di pekan Cina, India dan lain-lain yang berkaitan, tidak terikat dengan peraturan itu tetapi digalakkan berbuat demikian sebagai menghormati waktu solat Maghrib.

“Arahan tersebut bukanlah nak wujudkan sentimen perkauman atau rasis dan tiada paksaan kepada peniaga serta penjaja bukan Islam terutama yang berniaga di kawasan bukan Islam, tetapi kita alu-alukan sekira mereka juga mahu berbuat sedemikian,” tambahnya.

Mansor berkata demikian bagi menjelaskan kedudukan peniaga serta penjaja bukan Islam apabila arahan berkenaan dikuatkuasakan pada 1 Mei depan.

Semalam, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Ketil itu dalam kenyataannya memaklumkan bermula 1 Mei, semua penjaja khususnya di pasar malam seluruh Kedah diarahkan memberhentikan operasi perniagaan bermula lima minit sebelum dan 10 minit selepas waktu azan solat Maghrib untuk memberi laluan kepada perniaga dan pengunjung mendirikan solat.

Dalam pada itu kata beliau lagi, penganjur pasar malam dikehendaki menyediakan ruang solat dan tempat berwuduk untuk peniaga.

“Kalau di premis tak apa, sebab mereka dah ada ruang sendiri. Di pasar malam ini minta penganjur sediakan ruang solat dan tempat berwuduk kepada para peniaga,” jelasnya lagi. – HARAKAHDAILY 24/4/2024

- Advertisement -