Kos pembersihan awam, kutipan sisa pepejal meningkat

Wan Sukairi Wan Abdullah
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Peruntukan untuk membiayai kos perkhidmatan pembersihan awam dan kutipan sisa pepejal di 97 zon kawasan di Terengganu pada tahun ini dijangka meningkat daripada RM78.9 juta kepada RM81.5 juta.

- Advertisement -

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah, peningkatan itu disebabkan oleh perubahan kadar cukai perkhidmatan (sales and service tax – SST) kontrak perkhidmatan pembersihan awam daripada 6 peratus kepada 8 peratus yang telah berkuatkuasa mulai 1 Mac lalu.

“Antara usaha-usaha yang telah digerakkan oleh kerajaan negeri dalam meningkatkan tahap kebersihan dan keceriaan kepada tahap optimum dan mengikut standard piawaian ialah dengan meluluskan peruntukan sebanyak RM1.47 juta untuk pembelian tiga buah jentera skylift yang telah diserahkan kepada Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Majlis Perbandaran Kemaman dan Majlis Daerah Hulu Terengganu bagi kerja-kerja pemangkasan pokok teduhan.

“Seterusnya meluluskan peruntukan sebanyak RM20,000 kepada Majlis Bandaraya Kuala Terengganu bagi menampung kos sewaan tong roro yang ditempatkan di 15 lokasi hotspot sempena Hari Raya Aidilfitri 1445 Hijrah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan perbahasan Titah Diraja pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Jelasnya, pada hari raya baru-baru ini peningkatan ketara jumlah pembuangan sisa pepejal ke tapak pelupusan dua hingga tiga kali ganda dengan purata sekitar 300 tan hingga 400 tan sehari berbanding hari biasa.

Namun, kata beliau, pihak berkuasa tempatan (PBT) khususnya Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) telah mengaturkan beberapa pelan tindakan untuk memastikan kerja-kerja kutipan sisa pepejal berjalan dengan lancar. – HARAKAHDAILY 24/4/2024

- Advertisement -