Hab borong bumiputera di Platinum Mall belum beroperasi

- Advertisement -

KOTA BHARU: Di Bandar Baru Lembah Sireh terdapat beberapa bangunan yang menjadi mercu tanda kerana binaan yang unik dan bersaiz besar.

- Advertisement -

Selain AEON Mall dan Lotus’s terdapat sebuah bangunan besar yang dikenali sebagai Platinum Mall, namun belum beroperasi sehingga sekarang.

Bangunan enam tingkat dengan keluasan 412,686 kaki persegi itu menyediakan 1,700 lot kedai, namun dilihat seperti terbengkalai kerana tidak dimanfaatkan sepenuhnya.

Sedangkan ketika era kerajaan PERIKATAN NASIONAL (PN) Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi melalui Tekun Nasional mengambil langkah proaktif bagi mewujudkan hab pemborongan usahawan bumiputera Tekun Nasional di Platinum Mall Kota Bharu.

Usaha itu secara tidak langsung merancakkan ekonomi setempat dan memberi manfaat kepada usahawan tempatan di Pantai Timur.

Difahamkan kerajaan sebelum ini juga menyalurkan bantuan kepada usahawan berminat dengan menyediakan pembiayaan melalui pakej yang ditawarkan Tekun Nasional nilai maksimum sehingga RM100,000.

Ekoran itu penduduk tempatan hairan mengapa Platinum Mall belum beroperasi sehingga sekarang, sedangkan usaha awal dirintis kerajaan PN.

Nordin Harun, 52, berkata, ketika era kerajaan PN kompleks perniagaan itu tidak dapat beroperasi kerana penularan pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Namun wabak sudah berakhir kompleks perniagaan begitu besar tersebut belum lagi beroperasi sehingga sekarang.

“Sedangkan lokasinya begitu strategik di kawasan yang sedang rancak membangun di Bandar Baru Lembah Sireh. Malah banyak terdapat kemudahan di kawasan sekitarnya,” katanya di sini.

Malah media sebelum ini melaporkan kebanyakan usahawan sudah menerima surat tawaran penyewaan dan boleh masuk ruang premis masing-masing pada Mac 2021.

Antara produk yang akan dipasarkan di Platinum Mall termasuk pakaian, barangan kesihatan, kelengkapan bayi dan kanak-kanak, kelengkapan rumah, aksesori wanita, gajet, beg, kasut dan sebagainya. – HARAKAHDAILY 24/4/2024

- Advertisement -