Bersilaturahim atas prinsip keamanan, kesejahteraan

- Advertisement -

KOTA KINABALU: “Seluruh PAS kawasan turut mengadakan majlis sambutan Aidilfitri, kalau lihat ada 22 kawasan parlimen PAS Sabah bersama menganjurkan berdasarkan tarikh-tarikh mereka,” kata Setiausaha PAS negeri, Sahar Majid.

- Advertisement -

Kata beliau, seluruh jawatankuasa merakamkan jutaan terima kasih dan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin.

Beliau berharap semoga seluruh rakyat negeri ini hidup aman dan damai dengan pelbagai kaum serta bersilaturahim di atas prinsip keamanan dan kesejahteraan berdasarkan konsep Sabah Maju Jaya.

“Yang hadir, dapat kita lihat kepelbagaian bangsa dan kaum turut bersama dalam sambutan hari raya ini,” ujarnya ketika berucap Majlis Sambutan Hari Raya PAS negeri di pekarangan Pejabat Perhubungan PAS negeri, kelmarin.

Turut hadir ialah Timbalan Pesuruhjaya 3 PAS negeri, Dr. Afifi Saifuddin, Ketua Penerangan, Mustaman Mustain, Ketua Dewan Ulamak, Ustaz Azman Jupri dan Pengerusi Dewan Himpunan Pendukung PAS, Satail Majungkat.

Seramai 4,000 pengunjung hadir ke majlis sambutan hari raya pada tahun ini dari pelbagai kawasan.

Ketua Dewan Pemuda PAS negeri, Hendri Hamsah pula menyatakan bahawa pihaknya sentiasa memberi komitmen sepenuhnya mengatur program melibatkan belia dan remaja.

Beliau berharap agar perbezaan politik yang berada di negeri ini sedikit sebanyak memberikan kesedaran kepada belia dan pemuda PAS.

Katanya, apabila disebut belia, tidak terlepas yang berumur 18 tahun yang perlu dititikberatkan disebabkan mereka pengundi muda yang memberikan sumbangan kepada negara. – HARAKAHDAILY 24/4/2024

- Advertisement -