‘Alamak..!’ ia hanya sekadar hiburan?

- Advertisement -

LAGU yang trending sejak sebelum raya hingga kini telah menarik perhatian ramai untuk memberi pandangan mahupun kritikan. Ada juga yang menyokong atas alasan, “tidak perlu fikir dalam sangat, ia sekadar hiburan.” Seperti yang dinyatakan oleh salah seorang penulis lirik lagu iaitu penyanyi ini sendiri. 

- Advertisement -

Saya tidak berniat untuk mengulas panjang berkenaan lagu ini, apatah lagi berbangga dengannya walau ke negara mana ia telah sampai. Syabas kepada anak muda yang berani dan kreatif dalam penghasilan lagu. Namun, wajarkah lagu dan muzik ini dipandang ringan? Adakah benar lagu hanya sekadar hiburan?

Jika dilihat dari asal usul lagu raya di negara kita, dikatakan lagu raya pertama didendangkan pada tahun 1936 berjudul ‘Selamat Hari Raya’ nyanyian Miss Aminah, ciptaan Tengku Alibasha Che Ara Bangsawan. Jom kita hayati lirik lagunya.

Selamat hari raya, sayalah ucapkan,

Kepada ibu bapa saudara sekalian,

Kaumlah kerabat hai handai dan taulan,

Tualah dan muda laki-laki perempuan,

Permulaan Syawal, hari yang mulia Aidilfitri,

Penutup bulan puasa,

Pintu terbuka untuk menebus kan dosa,

Paling utama bagi sesama manusia,

Umpat puji yang sudah terbanyak ampun dan maaf,

Sekarang diminta supayalah azab kubur hai janganlah menyesak,

Selamatlah kita di akhirat-Nyalah kelak,

Wahai muslimin sudahlah hai wangi, (2x)

Mendoalah kita kepada Rabbal Illahi, (2x)

Dipanjangkan umur dimurah rezeki, (2x)

Tahunlah dimuka boleh berjumpalah lagi. (2x)

Lagu ini membawa mesej yang sangat baik dengan lirik yang sopan berunsur ketuhanan. Selepas lagu ini, muncul lebih banyak lagi lagu-lagu raya yang mempunyai nilai yang sama dan masih ‘evergreen’ dan sedap di dengar sehingga kini. Lalu, mana perginya nilai ini? 

“Alaa kuno lah, itu zaman dulu, zaman sekarang kena la ‘catchy’, tak ‘catchy’ tak trending la.”

Saya percaya rata-rata yang berpandangan seperti ini adalah dalam kalangan anak muda. Saya juga anak muda yang suka mendengar lagu pelbagai genre; dari lagu internasional sehinggalah ke lagu indie band tempatan. Rentak, melodi, irama dan lirik yang berbeza. Menghargai ilmu dan bakat di sebaliknya. Tidak salah mendengar dan meminatinya, tetapi perlulah selektif.

Islam tidak melarang kita untuk berhibur melalui seni muzik, malah diharuskan dengan niat yang baik dengan panduan yang betul. Hal ini dinukilkan dalam sebuah artikel yang ditulis oleh Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berjudul “Seni dalam Islam: Tradisi yang Mengakar dan Nilai Universal”. Sebuah penulisan yang sangat menarik dan lengkap dinukilkan untuk memberi ilmu dan panduan agama dalam berhibur melalui lagu dan muzik.

Jika ditelusuri sirah yang dinukilkan dalam artikel tersebut, Rasulullah SAW sendiri mengharuskan hiburan dan nyanyian.

Daripada Aisyah RA berkata:

 أَنَّهَا زَفَّتِ امْرَأَةً إِلَى رَجُلٍ مِنَ الأَنْصَارِ فَقَالَ نَبِيُّ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:‏‏ يَا عَائِشَةُ! مَا كَانَ مَعَكُمْ لَهْوٌ؟ فَإِنَّ الأَنْصَارَ يُعْجِبُهُمُ اللَّهْوُ ‏‏‏.‏

Maksudnya: 

“Bahawasanya beliau membawa seorang pengantin perempuan untuk dihantar kepada seorang lelaki daripada kaum Ansar, kemudian Nabi SAW bersabda: “Wahai ‘Aisyah, apakah kamu semua tidak mempunyai hiburan untuk dimainkan? Sesungguhnya orang-orang Ansar menyukai hiburan.”

[Riwayat al-Bukhari (5162)]

Ibn Abbas R.Anhuma berkata:

أَنْكَحَتْ عَائِشَةُ ذَاتَ قَرَابَةٍ لَهَا مِنَ الأَنْصَارِ، فَجَاءَ رَسُولُ اللَّهِ  صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ،  فَقَالَ :‏ أَهْدَيْتُمُ الْفَتَاةَ؟‏ قَالُوا: نَعَمْ .‏ قَالَ ‏:‏ أَرْسَلْتُمْ مَعَهَا مَنْ يُغَنِّي؟ قَالَتْ: لاَ ‏.‏ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏:‏ إِنَّ الأَنْصَارَ قَوْمٌ فِيهِمْ غَزَلٌ، فَلَوْ بَعَثْتُمْ مَعَهَا مَنْ يَقُولُ: أَتَيْنَاكُمْ أَتَيْنَاكُمْ… فَحَيَّانَا وَحَيَّاكُمْ. 

Maksudnya: “Aisyah R.Anha pernah mengatur satu upacara perkahwinan salah seorang kerabatnya daripada kaum Ansar. Lalu datang Rasulullah SAW bertanya kepadanya: Apakah sudah engkau berikan hadiah kepada pengantin perempuan itu?

Jawabnya: Sudah. Baginda SAW bertanya lagi: Sudahkah kamu aturkan seseorang untuk menyanyi di sana? Jawabnya: Tidak. Maka Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya kaum Ansar itu suka kepada nyanyian Ghazal (sambut menyambut), kalau dapat seorang yang bernyanyi seperti, “Kami datang kepada kamu! Kami datang kepada kamu! Selamat bagi kami, selamat bagi kamu!”

[Riwayat Ibn Majah (1900)]

Begitu juga dengan kisah Hijrah Rasulullah SAW yang disambut dengan sya’ir “Tola’al Badru ‘Alaina” setibanya Baginda SAW tiba di Madinah. Syair ini sangat terkenal dalam kalangan umat Islam dan masih lagi dinyanyikan sehingga kini walau sudah 1402 tahun lamanya. 

Hal ini membuktikan bahawa Islam tidak menghalang kita untuk berhibur dengan seni nyanyian dan muzik tetapi mestilah mengikut syariat. Berkata Syeikh Mahmud Syaltut, seorang Ulama’ Mesir, “Syariat tidak diturunkan untuk menyekat fitrah manusia yang sukakan keindahan dan kecantikan, tapi Syariat datang untuk mengawal dan mengawasinya agar tidak terjerumus ke dalam perkara-perkara yang jelek dan memudaratkan.”

Kita tidak boleh menafikan bahawa hanya lirik yang baik sahaja akan memberi nilai yang baik. Begitulah sebaliknya. Dari sudut psikologi, lagu sangat memberi impak besar kepada diri seseorang. Setiap bait-bait kata, melodi dan irama yang didengari akan membentuk personaliti dan mempengaruhi emosi diri. Kajian menunjukkan lirik lagu yang bersifat agresif akan meningkatkan pemikiran dan perasan agresif. Manakala, lagu yang tenang dan damai, dengan lirik yang baik mendorong seseorang itu untuk bersifat sama. 

Bukan itu sahaja, kita juga perlu berhati-hati dalam memilih lagu untuk kegunaan majlis,  latar belakang video mahupun perkongsian di sosial media. Banyak lirik-lirik lagu yang trending diluar sana terutamanya dari luar negara mempunyai maksud yang tidak baik; lucah dan jijik. Lebih menakutkan lagi bila ianya melibatkan soal agama dan kepercayaan, bimbang syirik kecil menjadi taruhan.

Akhir kata, seluruh kehidupan kita ini tidak lari daripada fitrah manusiawi itu sendiri. Islam sangat meraikannya dari segenap sudut. Oleh sebab itu, hanya dengan kehidupan beragama sahaja akan menjadikan segalanya baik baik sahaja. 

Seperti firman Allah SWT:

وَاَطِيْعُوا اللّٰهَ وَاَطِيْعُوا الرَّسُوْلَ وَاحْذَرُوْا ۚفَاِنْ تَوَلَّيْتُمْ فَاعْلَمُوْٓا اَنَّمَا عَلٰى رَسُوْلِنَا الْبَلٰغُ الْمُبِيْنُ 92

“Dan taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasul serta berhati-hatilah. Jika kamu berpaling, maka ketahuilah bahwa kewajiban Rasul Kami hanyalah menyampaikan (amanat) dengan jelas.”

(Al-Maidah: 92)

AQILAH ABD
Pahang – HARAKAHDAILY 24/4/2024

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri. – HARAKAHDAILY 24/4/2024

- Advertisement -