Terengganu pandang serius isu berkait ajaran sesat

Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Terengganu memandang serius isu-isu yang berkait dengan ajaran sesat termasuk ajaran Ayah Pin yang kembali dihidupkan.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, tindakan itu dilakukan supaya umat Islam di negeri ini terpelihara akidah.

Katanya, kerajaan negeri mempunyai undang-undang dan peraturan untuk mencegah ajaran-ajaran sesat.

“Kegiatan dakwah, kuliah, pengajian-pengajian agama begitu aktif di mana ini semua dirangkumkan untuk kita sentiasa memberikan kesedaran kepada umat Islam supaya berwaspada dengan ajaran yang sesat daripada ajaran Islam yang sebenar,” katanya semasa menjawab soalan Dr Riduan Mohamad Nor (PAS-Jertih) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Riduan dalam soalan asal bertanyakan mengenai ajaran-ajaran sesat yang wujud di negeri ini selain ajaran Ayah Pin.

Menurut Khalil, selain ajaran Ayah Pin, turut dipantau Pegawai Penguatkuasa Syariah (PPS) Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) ialah ajaran Mohib Khouli dan Kanzun Makhfiyyan. 

“Tindakan penguatkuasaan akan diambil sekiranya ajaran ini terus disebarkan di negeri Terengganu melalui Seksyen 10 menghina atau mengingkari pihak berkuasa agama atau Seksyen 12 pendapat yang bertentangan dengan fatwa,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/4/2024