KOTA BHARU: Projek pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Kelantan sehingga Mac lalu sudah mencapai kemajuan sebanyak 78.03 peratus.
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Dato’ Seri Darwis Abdul Razak berkata, kemajuan itu menunjukkan peningkatan sebanyak tiga peratus berbanding pada Februari lalu iaitu 75 peratus.
Katanya, peningkatan pembinaan berkenaan hasil kerjasama dengan semua pihak dan kerja-kerja pembinaan mengikut jadual yang ditetapkan.
“Manakala, bagi kerja pemasangan landasan dari Gebeng, Pahang ke Dungun, sudah siap sepenuhnya sepanjang 92 kilometer (km), selain itu dari Gebeng ke Maran, Pahang sepanjang 97 km sudah siap 33 km.
“Selebihnya, ia dalam proses pembinaan dan dijangka siap mengikut jadual yang ditetapkan,” katanya ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri bersama ECRL di sebuah hotel di sini, hari ini. Hadir sama Menteri Besar Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud. (Foto atas)
Darwis juga berkata, pemasangan sistem elektrifikasi akan bermula awal Mei ini di Gebeng, Pahang. Kemudian, ia akan disusuli pemasangan semboyan.
“Bagi pembinaan projek keseluruhan ECRL yang merangkumi empat negeri dari Kota Bharu ke Terminal Bersepadu Gombak sepanjang 665 km sehingga Mac lalu siap sebanyak 64.01 peratus.
“Projek ini dijangka siap sepenuhnya pada Disember 2026. Masa perjalanan yang akan diambil antara kedua-dua stesen terbabit iaitu empat jam berbanding sekarang lebih tujuh jam,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/4/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!