Rakyat terkesan impak janji, formula pemimpin PH

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pengurangan subsidi petrol dan program subsidi bersasar akan dilaksanakan, dilihat bakal menjadi penilaian kritikal rakyat terhadap segala janji dan formula pernah diungkapkan para pemimpin kerajaan ketika ini.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman berkata, perkara tersebut dicanang dan diulang-ulang oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, selain Menteri Ekonomi kini ketika mereka sebagai pembangkang dahulu.

“Apa yang dilaungkan dan apa yang akan dilaksanakan adalah terlalu kontra berbanding dengan apa yang dijanjikan oleh mereka sebelum ini,” ujar beliau ketika diminta HarakahDaily untuk mengulas isu tersebut.

Jelas beliau, pelaksanaan tersebut tetap memberi impak jangka pendek dan jangka panjang kepada rakyat di mana pasti akan membayar harga petrol yang lebih tinggi daripada dinikmati sekarang ini. 

Menurutnya, keadaan itu akan menjejaskan aliran tunai rakyat kerana penggunaan jumlah petrol masih kekal sama bagi pelbagai urusan harian sedangkan harganya sudah berganda meningkat.

“Kalau sebulan belanja untuk petrol contohlah sekitar RM150 hingga RM200 pada harga petrol bersubsidi sekarang ni. Jadi kalau harga petrol itu naik dan penggunaan kekal perlu naik motor, naik kereta, pergi kerja, balik kampung, urusan anak sekolah, asrama, orang berniaga dan seumpamanya.

“Jadi kuantiti pembelian itu tidak akan berkurang kerana petrol ini permintaan yang tidak anjal, kuantiti permintaan tidak akan berkurang. Tak adalah orang yang akan tiba-tiba naik public transport. Dia tidak semudah itu. 

“Walaupun lepas ni mungkin kerajaan kata jika tak mampu naiklah bas. Naiklah LRT. Mungkin orang akan beralih sekejap. Tapi dia tidak anjal. Jadi atas faktor itu rakyat akan merasa tekanan apabila nisbah perbelanjaan petrol itu meningkat berbanding pendapatan yang tidak meningkat.

“Jadi kalau sebelum ni belanja petrol RM150 ke RM200, mungkin boleh naik RM250 ke RM300. Bagi B40 ataupun orang duduk di bandar ni akan memberikan kesanlah. Jadi kesan dia lepas ni terpaksa sekat pula belanja makan, belanja tuisyen anak sekolah. 

“Perkara begitu terpaksa dikompromikan kerana bajet bulanan untuk petrol itu meningkat,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 23/4/2024

- Advertisement -