Penghulu kesan penduduk miskin layak mohon rumah dhuafat

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan negeri terus komited membina Skim Rumah Dhuafat secara percuma kepada rakyat kurang berkemampuan yang memenuhi syarat ditetapkan. 

- Advertisement -

Program itu dilaksanakan bermula tahun 2009 diteruskan sehingga sekarang bagi membantu penduduk miskin memiliki rumah sendiri.

Penghulu Mukim Chepa Dewan Undangan Negeri (DUN) Demit, Engku Lah Engku Mamat berkata, kerajaan negeri membina kediaman dengan saiz 750 kaki persegi bernilai kira-kira RM55,000.

Katanya, tugas penghulu bagi mencari keluarga yang kurang berkemampuan dan mencukupi syarat yang ditetapkan untuk memohon rumah tersebut.

“Di DUN Demit terdapat seramai 13 penghulu. Kami diminta untuk menghantar satu permohonan kepada kerajaan negeri untuk dibina tiga rumah dhuafat dalam tempoh setahun bagi setiap DUN.

“Jadi kita akan berusaha mencari dan mengenal pasti penduduk yang benar-benar layak. Kerja-kerja kebajikan ini sebahagian KPI yang ditetap di bawah Majlis Penghulu Negeri,” katanya ketika ditemui di sini.

Sebelum itu ADUN Demit Mohd Asri Mat Daud menyerah kunci sebuah rumah dhuafat kepada seorang armalah anak tiga yang mengemukakan permohonan Ogos tahun lalu.

Engku Lah berkata penerima skim tersebut, Nor Hazmah Ahmed sebelum ini terpaksa tinggal bersama emaknya serta tiga lagi adik beradiknya dalam sebuah rumah yang agak usang dan sesak.

Selain itu ujar beliau kerajaan negeri turut membantu menanggung sebahagian kos bagi membekalkan elektrik dan bekalan air bagi meringankan beban dihadapi penduduk miskin.

“Kita juga berusaha memasang elektrik dan air dengan sokongan wakil rakyat di rumah penduduk miskin dengan harga lebih murah berbanding biasa,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/4/2024