KOTA BHARU: Mangsa yang terjatuh dari bot di Pantai Mek Mas, Mohd Nor Sharif Mat Nasir, 28, ditemui selamat semalam.
Mangsa yang terkapai-kapai di perairan Pantai Geting, Tumpat ditemui seorang nelayan kira-kira jam 10.30 pagi.
Anggota Exco kerajaan negeri, Dato’ Dr Izani Husin berkata, beliau bersyukur kerana mangsa yang terjatuh daripada bot ditemui selamat.
“Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT kita panjatkan kerana dengan izinnya mangsa berkenaan akhirnya ditemui dalam keadaan selamat,” katanya pada lontaran di laman sosialnya.
Pada Ahad lalu Nor Sharif dipercayai terjatuh dari bot di Pantai Mek Mas di sini dan ditemukan selamat keesokan harinya.
Mangsa disyaki terjatuh sekitar jam 6.50 petang Ahad dan bot milik mangsa ditemui di tepi pantai, namun mangsa tidak ada.
Mangsa yang juga seorang pengawal keselamatan di Sekolah Kebangsaan (SK) Demit 1 ditemui nelayan pada kira-kira jam 10.30 pagi di perairan Geting, Tumpat.
Dr Izani yang juga ADUN Kijang berkata, pegawai khasnya dan penghulu turut hadir ketika mangsa dibawa pulang melalui Kompleks LKIM Kuala Besar petang semalam. – HARAKAHDAILY 23/4/2024