Kerajaan jimat, tapi rakyat terbeban? – Syahir Sulaiman

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa mencari keseimbangan antara penjimatan bakal diperolehi dengan beban bakal ditanggung oleh rakyat apabila pengurangan subsidi petrol dan program subsidi bersasar dilaksanakan nanti.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman berkata, sehingga hari ini kepastian mengenai baik atau tidaknya pelaksanaan tersebut belum dapat diberikan mana-mana pihak kerana kerajaan sendiri masih mengkaji kesannya.

“Memang kalau dikira pro dan kontra pelaksanaan itu lebih menguntungkan kerajaan dari aspek penjimatan, kerana kos ataupun bajet kerajaan digunakan untuk tanggung subsidi-subsidi kepada rakyat.

“Dianggarkan dapat beri penjimatan (kepada kerajaan). Tetapi itupun angkanya masih lagi tidak dapat dimuktamadkan berapakah penjimatan sebenar kalau kerajaan beralih daripada sistem atau mekanisme sedia ada.

“(Iaitu daripada) harga petrol bersubsidi sekarang ini kepada mekanisme pengapungan sepenuhnya dan subsidi cara bersasar. Belum lagi dinyatakan berapakah jumlah penjimatan,” ujar beliau yang juga Setiausaha Politik Presiden PAS.

Secara khusus dan langsung, Syahir berpandangan pelaksanaan itu sememangnya akan mengurangkan belanja kerajaan melibatkan peruntukan subsidi, belanja mengurus dan sekali gus mengurangkan defisit kerajaan. 

Tetapi terang beliau, secara tidak langsung tindakan pengurangan subsidi ini menuntut kerajaan untuk menampungnya dengan pemberian bantuan tunai yang dijangka akan bertambah. 

Oleh itu katanya, sama ada kerajaan dapat mengurangkan bebanan perbelanjaan itu, bergantung kepada jumlah penjimatan dan penambahan bantuan tunai bakal diberikan kepada rakyat setelah subsidi ditarik dan harga petrol diapungkan kepada harga pasaran.

Menurut beliau, sehingga hari ini kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sebagai agensi pengawal selia petrol masih belum mengumumkan perincian mekanisme bagi pelaksanaan tersebut.

“Kalau kita soroti idea pelaksanaan subsidi bersasar ataupun rasionalisasi subsidi ini, ia sejak zaman (Perdana Menteri), Datuk Sri (Mohd) Najib (Abdul Razak) lagi iaitu masa pentadbiran BN dahulu. 

“Maknanya isu mengenai kos subsidi yang ditanggung kerajaan ni dah lama dikaji dan waktu itupun dah ada idea ini. Masa tu tak dipanggil pengurangan subsidi tapi dia panggil rasionalisasi subsidi.

“Lepas itu masa zaman Pakatan Harapan (PH) yang pertama di bawah KPDN HEP, Menterinya Saifuddin (Nasution Ismail) waktu itu telah pun dilancarkan Program Subsidi Petrol (PSP). Ada mekanisme dia untuk B40 dan M40,” imbasnya.

Terang beliau, ketika itu dinyatakan mengenai bantuan tunai yang akan diberikan secara bulanan mengikut kapasiti enjin motor dan juga kereta, namun PSP tidak sempat dilaksanakan dan ditangguhkan.

Menurutnya, manakala ketika Kerajaan Perikatan Nasional (PN), negara berdepan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di mana memberikan begitu banyak subsidi termasuk untuk mengurangkan bebanan kos sara hidup rakyat. – HARAKAHDAILY 23/4/2024

- Advertisement -