Bandar Pintar Negeri Perlis bakal tingkat kualiti rakyat

Kompleks Dewan Undangan Negeri Perlis.
- Advertisement -

KANGAR: Bandar Pintar Negeri Perlis bakal memberi impak peningkatan kualiti hidup penduduk negeri ini.

- Advertisement -

Demikian titah Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail yang dibacakan oleh Raja Muda, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail pada perasmian pembukaan Mesyuarat Pertama, Penggal Persidangan Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis ke-15 di Kompleks DUN, di sini, hari ini.

Menurut baginda, kerajaan negeri kini sedang menyediakan pelan terperinci (blueprint) ke arah merealisasikan Bandar Pintar Negeri Perlis.

“Beta percaya, apabila hasrat ini dapat direalisasikan, ia akan meningkatkan kualiti hidup penduduk serta menyediakan kaedah bagi mengatasi cabaran perbandaran melalui penyelesaian smart nation,” titah baginda.

Baginda turut dimaklumkan, sehingga 31 Disember tahun lepas, liputan rangkaian 5G di kawasan berpenduduk di Perlis mencapai kadar 91.4 peratus.

Justeru, baginda berharap kerajaan negeri dapat mengambil langkah meneroka peluang pelaburan baharu dalam bidang berteknologi tinggi.

“Mengambil kira kadar pembangunan infrastruktur jalur lebar yang amat pesat di negeri ini, beta berharap kerajaan negeri mengambil langkah untuk meneroka peluang pelaburan baharu dalam bidang-bidang berteknologi tinggi yang boleh memberikan impak besar terhadap ekonomi negeri.

“Kerajaan negeri juga mestilah komited untuk menawarkan lebih banyak perkhidmatan secara dalam talian untuk kemudahan rakyat negeri Perlis,” titah baginda lagi. – HARAKAHDAILY 23/4/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!