KOTA BHARU: Seramai 4,900 peserta Program Pembangunan Ladang Rakyat Negeri Kelantan akan menerima dividen pada bulan hadapan.
Dividen itu bagi tempoh tiga bulan iaitu November, Disember 2023 dan Januari 2024 yang berjumlah keseluruhan RM2.895 juta.
Menteri Besar Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassruddin Daud berkata, pembayaran sumbangan tahunan pemaju ladang sawit kepada Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat Negeri Kelantan penting bagi memastikan dividen dapat diagih kepada peserta.
“Kerajaan negeri melalui Ladang Rakyat sentiasa cakna dan prihatin terhadap setiap peserta,” katanya pada majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat di sini semalam.
Turut hadir Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan; Pegawai Kewangan Negeri Dato’ Dr Tengku Mohamed Faziharudean Tengku Feissal dan Pengarah Tanah dan Galian, Dato’ Rosnazli Amin.
Menteri Besar juga berkata, sehingga sekarang jumlah dividen bulanan yang diagihkan kepada peserta sebanyak RM175.576 juta.
Menurutnya juga sebanyak 47 tabung Tindakan Kebajikan Peserta Ladang Rakyat diwujudkan bagi menjaga kebajikan peserta.
Selain Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat mempunyai koperasi yang disertai peserta Program Pembangunan Ladang Rakyat.
Program Pembangunan Ladang Rakyat diwujudkan pada Julai 2006. Setiap peserta diberi dividen bulanan sebanyak RM200. – UPKN