Kerajaan tak harus derhakai Titah Adendum – Annuar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak harus menderhakai Titah Adendum tanpa penjelasan yang meyakinkan, sekiranya benar ianya wujud, demikian peringat bekas Menteri Wilayah, Tan Sri Annuar Musa.

- Advertisement -

“Jangan cuba pertikai atau menimbulkan keraguan terhadap kuasa Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja dalam memberi pengampunan. Lembaga Pengampunan diwujudkan untuk memberi nasihat dan pandangan.

“Yang di-Pertuan Agong boleh memutuskan atau menitahkan perkenan baginda dalam mesyuarat atau selepas mesyuarat. Hak baginda tidak harus dipertikaikan. Sejak zaman berzaman, Raja-raja Melayu mempunyai kuasa memberi pengampunan.

“Perlembagaan Negara mengekalkan hak dan kuasa tersebut melalui perkara 42(1) dengan jelasnya. Pengalaman saya sebagai anggota Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan kami amat memahami dan menghormati kedudukan tersebut,” ujarnya.

Bekas Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak mendakwa wujud Titah Adendum yang tidak diumumkan hingga membawa kepada semakan kehakiman pengampunan diterimanya, baru-baru ini.

Lembaga Pengampunan terdahulu telah mengumumkan pengurangan hukuman daripada 12 tahun kepada 6 tahun penjara, serta denda RM210 juta kepada RM50 juta hujung Januari lalu.

Titah Adendum didakwa ditandatangani Yang di-Pertuan Agong Ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah itu dikatakan memberi kebenaran tempoh hukuman penjara 6 tahun itu dilaksanakan di rumah.

Keputusan itu terlebih dahulu dilaporkan media Singapura sebelum pengumuman rasmi dibuat, sedangkan beberapa pemimpin negara menafikannya, termasuk menyatakan tidak tahu-menahu mengenai dekri tambahan tersebut.

Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagaimanapun secara tiba-tiba memfailkan afidavit di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 April baru-baru ini bahawa beliau telah melihat dan membaca dengan jelas isi kandungan titah itu.

Presiden Umno itu dimaklumkan kewujudan titah tersebut yang didakwanya ditunjukkan oleh Menteri Perdagangan, Pelaburan dan Industri, Senator Tengku Dato’ Sri Utama Zafrul Aziz menerusi telefon.

Afidavit diikrarkan itu menyokong permohonan semakan kehakiman Najib, di mana Zahid mengesahkan selepas itu bahawa titah dilihatnya dari Zafrul tersebut tulen sebagaimana salinan asal ditunjukkan Yang di-Pertuan Agong kepada Senator Menteri tersebut.

Zafrul bagaimanapun dalam satu kenyataan memberitahu akan membuat permohonan kepada Mahkamah Tinggi bagi memfailkan afidavit membetulkan beberapa kesilapan fakta yang terkandung dalam afidavit difailkan oleh Ahmad Zahid itu.

Ekoran itu, ia menimbulkan spekulasi dan pertanyaan oleh banyak pihak di mana rata-rata berpandangan terdapat sesuatu yang tidak kena dalam afidavit diikrarkan Zahid itu, sekali gus mahu perkara sebenar dijelaskan. – HARAKAHDAILY 22/4/2024

- Advertisement -