Krisis Timur Tengah: Pentingnya penyatuan umat Islam

Tuan Guru Dato' Hashim Jasin
- Advertisement -

KANGAR: Krisis yang berlaku di Timur Tengah ketika ini memerlukan kesatuan seluruh umat Islam tanpa mengira latar belakang mazhab.

- Advertisement -

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin berkata, tidak sepatutnya dibangkitkan perselisihan antara mazhab dalam suasana genting ketika ini.

“Suasana yang ada ketika ini, terutama yang berkait dengan Timur Tengah memerlukan kepada penyatuan umat Islam tanpa mengira mazhab-mazhab tertentu sahaja.

“Jadi dengan erti kata bahwa keperluan kita ahli Sunnah Wal-Jamaah, perpaduan kita dengan Syiah yang wujud pada hari ini di Iran memerlukan kita memperkukuhkan lagi hubungan antara kita.

“Tidak sepatutnya dalam masa genting seperti ini, kita bangkitkan persoalan perselisihan pendapat dalam mazhab-mazhab dalam Islam itu sendiri,” katanya ketika ditemui di sini.

Beliau turut menekankan bahawa perpecahan dalam umat Islam hanya akan memberi ruang kepada musuh bersama iaitu Israel dan Amerika Syarikat untuk memanfaatkan keadaan.

“Kita anggap bahawa Iran adalah Islam dan kita negara-negara lain ahli sunnah ini pun Islam, maka tuntutan utama ialah perpaduan bagi menghadapi musuh bersama iaitu Israel dan Amerika.

“Kalau kita silap menyokong kita bisa sokong Israel ataupun Amerika dalam saat yang begini, maka kita telah melakukan satu kesilapan yang besar dalam suasana dan keadaan yang memerlukan kita bersatu padu.

“Lebih-lebih lagi kita tengok misalnya beberapa negara Arab yang menyebelahi Israel dalam keadaan Palestin ataupun Gaza menentang Israel, tidak sepatutnya mereka menyokong Israel dalam soal ini,” ujarnya lagi.

Justeru beliau turut menyeru agar negara-negara Arab tidak menyokong Israel dalam isu Palestin dan Gaza, serta menekankan pentingnya mengenali musuh bersama.

“Kita hairan kenapa Mesir, Saudi, Jordan, Bahrain, Qatar tidak bersungguh untuk menentang Israel, sedangkan Israel adalah musuh utama kita bersama yang ditegaskan dalam al-Quran itu sendiri.

“Jadi kita amat kesal dengan keadaan dan suasana ini berlaku dalam negara-negara umat Islam dan kita doakan semoga mereka sedar serta kembali bersatu dan berjuang menentang musuh bersama,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 21/4/2024

- Advertisement -