Halau AS dari Iraq, hapus kemungkaran Washington-Tel Aviv

Kawah besar kesan pengeboman di pangkalan Calso yang menempatkan Pasukan Mobilisasi Popular (PMF) Iraq. (FOTO: Al Jazeera)
- Advertisement -

TEHRAN: Satu letupan maut melanda sebuah pangkalan tentera di Iraq yang menempatkan oleh Pasukan Mobilisasi Popular (PMF) yang memainkan peranan penting dalam menumpaskan kumpulan pengganas Daesh, adalah kunci bagi menghalau tentera Amerika Syarikat dari negara itu, sekali gus menghapuskan kemungkaran Washington-Tel Aviv.

Pangkalan tentera di tengah Iraq itu menempatkan tentera dan separa tentera pro-Iran di pangkalan Calso, yang menempatkan bekas kumpulan separa tentera pro-Iran, Hashed al-Shaabi yang kini diselaraskan ke dalam tentera tetap Iraq.

- Advertisement -

Menurut tentera Iraq, seorang terbunuh dan lapan lagi cedera dalam letupan di pangkalan Calso pada lewat Jumaat (19 April), waktu tempatan yang terletak kira-kira 50 kilometer di selatan Baghdad dalam wilayah Babil (Babylon).

Pegawai Iraq berkata, seorang anggota tentera adalah antara mereka yang cedera di pangkalan itu yang juga berfungsi sebagai ibu pejabat tentera negara itu.

Rakaman dari tempat kejadian telah menunjukkan letupan besar kawah besar dan kerosakan infrastruktur dan kenderaan.

Punca letupan masih belum diketahui. Pada hari Sabtu, pihak berkuasa Iraq berkata mereka sedang menyiasat letupan itu.

Tentera Iraq berkata ia tidak mengesan sebarang dron atau pesawat pejuang di ruang udara Babylon sebelum atau semasa letupan itu.

Bagaimanapun, pada petang Sabtu, PMF menyifatkan letupan itu sebagai ‘serangan’.Sebelum ini, PMF telah meletakkan kesalahan kepada Amerika Syarikat (AS).

“Pencerobohan Amerika Syarikat mengebom pangkalan tentera Calso,” katanya dalam satu kenyataan.

Amerika Syarikat bagaimanapun menolak laporan bahawa ia berada di sebalik serangan udara terbaharu di Iraq itu.

“Kami mendapat laporan yang mendakwa bahawa Amerika Syarikat melakukan serangan udara di Iraq hari ini. Laporan itu tidak benar. Amerika Syarikat tidak melakukan serangan udara di Iraq hari ini,” kata Komando Pusat Amerika Syarikat (CENTCOM) melalui platform X.

Hakikatnya, Amerika Syarikat telah kerap melakukan serangan terhadap kedudukan kumpulan penentang di Iraq pada masa lalu, yang berjuang menuntut penarikan keluar pasukan tentera AS dari negara Arab.

Justeru, masih tidak jelas sama ada Amerika Syarikat berada di belakang atau dalang insiden di pangkalan Calso.

Namun, jika laporan mengenai penglibatan Washington adalah benar, ia akan menjadi tikaman di belakang rakyat Iraq terutamanya selepas lawatan rasmi Perdana Menteri, Mohammed Shia al-Sudani ke Amerika Syarikat baru-baru ini.

Letupan di tapak tentera itu berlaku di tengah-tengah ketegangan yang tinggi di Asia Barat susulan perang genosid Israel ke atas Gaza dan serangan maut rejim Zionis ke atas konsulat Iran di ibu negara Syria pada 1 April, sebelum serangan balas Iran dua minggu kemudian (pada 14 April) melalui Operasi Janji Benar dengan melancarkan lebih 300 dron dan peluru berpandu ke bumi Israel; dan insiden kononnya Israel menyerang Iran pada Jumaat (19 April) tetapi hanya dengan tiga dron mini yang dengan mudah dihapuskan oleh tentera udara Iran.

Sementara itu, jari juga telah dituding ke arah Israel untuk letupan di pangkalan PMF di Iraq itu, yang bagaimanapun dinafikan seorang pegawai Israel yang memberitahu CNN bahawa rejim Zionis tidak terlibat.

Jika laporan mengenai penglibatan Israel dalam insiden itu menjadi kenyataan, Amerika Syarikat akan bertanggungjawab, kerana Washington mempunyai kawalan ke atas ruang udara Iraq.

Tidak dinafikan, Israel tidak boleh melakukan sebarang serangan di Iraq tanpa pengetahuan awal Amerika Syarikat.

Sebarang serangan di dalam Iraq sama ada oleh Amerika Syarikat atau Israel adalah mencabuli kedaulatan dan integriti wilayah negara itu.

PMF telah ditubuhkan pada 2014 di Iraq sebagai sebahagian daripada gabungan berpuluh-puluh puak bersenjata untuk memerangi ancaman kumpulan pengganas Daesh yang semakin meningkat.

Sehubungan itu, PMF telah diiktiraf sebagai pasukan keselamatan rasmi oleh pihak berkuasa Iraq sejak 2018, dan ia juga merupakan kumpulan politik yang berpengaruh.

Rangka Kerja Gabungan Syiah, yang mewakili kumpulan berkaitan PMF, memenangi lebih 30 peratus kerusi Iraq dalam pilihan raya wilayah yang lalu.

Terdahulu, gerakan Penentangan Islam di Iraq yang berjuang atas jihad sebagai kumpulan payung pejuang antikeganasan, telah melancarkan serangan dron terhadap sasaran strategik di bahagian paling selatan Israel pada 14 April lalu, serentak dengan Operasi Janji Benar Iran.

Kumpulan itu berkata ia telah berjaya menyasarkan tapak Israel di pelabuhan Eilat.

Ia menyatakan bahawa operasi itu dilakukan sebagai tindak balas kepada pencerobohan di pangkalan PMF dan menyokong rakyat Palestin di Semenanjung Gaza, lokasi di mana Israel telah melakukan pembunuhan beramai-ramai orang awam sejak 7 Oktober 2023.

Gerakan Penentangan Islam di Iraq telah melakukan banyak serangan ke atas sasaran Israel sejak rejim itu mengisytiharkan perang ke atas Gaza; justeru tidak mustahil rejim Zionis terbabit dalam serangan terbaharu terhadap penempatan PMF itu.

Sejak beberapa tahun yang lalu, seruan telah berkembang di Iraq untuk pengusiran tentera Amerika Syarikat dari negara itu.

Pada masa ini, anti-Amerika Syarikat sentimen kekal tinggi di Iraq kerana sokongan Washington terhadap perang genosid Israel ke atas orang awam di Gaza.

Buat masa ini, penamatan kehadiran tentera Amerika Syarikat di Iraq dilihat sebagai langkah menghentikan perang genosid Israel ke atas Gaza, sekaligus boleh mengurangkan ketegangan di Asia Barat, dan menghalang konflik yang lebih meluas di rantau ini, serta menamatkan tindakan jahat komplot gandingan Washington dan Tel Aviv. – Agensi – HARAKAHDAILY 21/4/2024

- Advertisement -