‘Doakan Beras Ganu kembali semula ke pasaran’

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: “Kerjasama kerajaan negeri dengan kilang Konsortium Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) tak mampu diteruskan lagi,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu, Dr Azman Ibrahim.

- Advertisement -

Beliau berkata demikian susulan berlaku sabotaj dari Kilang Padi Konsortium LPP apabila Beras MyGAP yang sepatutnya dibekalkan kepada Terengganu Agrotech Development Corp. Sdn. Bhd, (TADC) untuk dibungkuskan dengan jenama Beras Ganu telah dijual kepada pihak lain.

Menurut Azman yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Jabi, hanya 30 peratus sahaja dijual kepada TADC.

“Dari jumlah padi MyGAP musim 2023 yang telah dibayar insentif oleh Kerajaan Negeri Terengganu, kilang konsortium hanya membekalkan 120 metrik tan beras sahaja kepada TADC dari jumlah keseluruhan 840 metrik tan yang sepatutnya dibekalkan.

“Bakinya telah dijual kepada pihak lain tanpa dimaklumkan kepada kerajaan negeri. Untuk makluman, bekalan Beras MyGAP kepada TADC dibayar dengan harga sama sebagaimana kilang jual kepada syarikat lain.

“Kita yakin sabotaj ini bukan keputusan Kilang Konsortium LPP secara bersendirian. Sedia difahami retetan senario sebelum berlaku sabotaj. Ia suatu agenda dari pihak yang lebih atas,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga telah mengemukakan tuntutan untuk mendapatkan ganti Beras MyGAP dari padi yang telah dibayar insentif oleh kerajaan negeri.

“Ini adalah hak kita,” dalam satu hantaran di Facebook miliknya, hari ini.

Jelas Azman, Beras Ganu ialah Beras MyGAP yang berkualiti tinggi disahkan selamat secara saintifik terutama dari segi kualiti dan kandungan racun.

Beliau berkata, Terengganu adalah negeri yang mempunyai pesawah memiliki persijilan MyGAP paling ramai di Malaysia.

“Persijilan ini di bawah Kementerian Pertanian. Sawah MyGAP sudah ada di Terengganu sebelum ini tapi beras MyGAP tak ada kerana padi MyGAP tak diuruskan rantaian pengeluarannya sehingga menghasilkan Beras MyGAP sebagai produk akhir.

“Bila tiba musim menuai, padi MyGAP dicampur dengan padi lain dan dikilangkan sekali dengan padi bukan MyGAP. Akhirnya semua jadi sama.

“Sayang sekali bila ada padi MyGAP tapi tak ada beras yang layak dipersijilkan dengan persijilan kualiti ini. Ringkasnya, Persijilan MyGAP di bawah KPKM ini tidak dilengkapkan sepenuhnya lalu kerajaan negeri berusaha melengkapkannya,” katanya.

Kata beliau, antara puncanya ialah kerana harga padi MyGAP sama saja dengan padi biasa.

Tambahnya, kerajaan tidak ada hak mengarahkan pesawah MyGAP supaya menghantar padi MyGAP ke kilang tertentu untuk diproses secara berpusat agar tidak bercampur dengan padi bukan MyGAP.

“Di Besut jelapang padi utama Terengganu ada 4 buah kilang padi. Brokar padi ada kilang pilihan mereka sendiri untuk dihantar padi. Biasanya kilang yang kadar potongannya lebih rendah akan jadi pilihan. Harga padi dan subsidi sama sahaja.

“Untuk itu, kerajaan negeri telah menubuhkan Jawatankuasa Beras MyGAP dipengerusikan Pengarah Pertanian Negeri. Antara Jabatan dan Agensi terlibat ialah UPEN Terengganu, Jabatan Pertanian, IADA Ketara dan TADC.

“Jawatankuasa telah melantik Kilang Padi Konsortium Lembaga Pertubuhan Peladang di Baruh Masin Jabi untuk memproses padi MyGAP menjadi Beras MyGAP,” katanya.

Kata beliau, kerajaan negeri mengeluarkan peruntukan RM200,000 semusim untuk membayar insentif tambahan bernilai RM105 per tan padi kasar bagi pesawah MyGAP yang bersedia hantar padi mereka ke kilang LPP agar proses padi MyGAP ini diuruskan secara berpusat sehingga tak bercampur dengan padi bukan MyGAP.

“Lebih kurang 80 peratus dari jumlah pesawah yang ada sijil MyGAP setuju menyertai program ini.

“Dengan erti kata lain, kerajaan negeri telah bantu bayar subsidi tambahan kepada padi MyGAP sehingga beras MyGAP yang berkualiti tinggi dan selamat dimakan akhirnya dapat dihasilkan dan dijual dengan harga seperti beras biasa walaupun kualitinya berbeza,” katanya.

Menurut Azman, Program Beras MyGAP kerajaan negeri juga telah membantu survival Kilang Padi Konsortium LPP milik Persekutuan dalam persaingan untuk mendapatkan bekalan padi.

“Dengan adanya 4 buah kilang padi di Besut, persaingan untuk mendapatkan bekalan padi sebenarnya agak tinggi. Tambahan pula kilang milik swasta menawarkan kadar potongan yang lebih rendah.

“Dengan adanya program MyGAP ini, sekitar 500 hektar padi MyGAP kita telah bantu untuk dihantar ke Kilang Konsortiun LPP.

“Pesawah yang hantar padi ke kilang lain tak akan dapat insentif kerajaan negeri RM105 per tan padi kerana padi mereka tidak berjaya menghasilkan beras MyGAP,” ujarnya.

Menurut beliau, selama kira-kira tiga musim Program Beras MyGAP dengan jenama Beras Ganu berjalan lancar sehinggalah Kerajaan PERIKATAN NASIONAL bertukar kepada Madani.

“Selepas peralihan tampuk kepimpinan di Kementerian Pertanian, beberapa kenyataan bernada memperlekehkan usaha Kerajaan Negeri Terengganu dalam menghasilkan jenama Beras Ganu telah dikeluarkan oleh Pejabat Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

“Kita memahami dari nada kenyataan tersebut bahawa KPKM tidak gembira dengan sedikit kejayaan Terengganu. Usaha Kerajaan Terengganu bukan hanya tak disokong malah diperlekehkan,” katanya.

Azman mengakui TADC sebagai GLC negeri yang melaksanakan Program Beras Ganu belum mempunyai kilang padi sendiri.

“Kita hanya ada kilang pembungkusan beras buat masa ini. Di kilang inilah beras MyGAP dibungkus dan seterusnya diedarkan. Way forward kita ialah untuk TADC memiliki kilang padi sendiri.

“Pelajaran mahal yang kita pelajari dari peristiwa ini ialah dalam rantaian pengeluaran, kita tak boleh bergantung kepada pihak lain yang tidak berniat baik terhadap kita. Kita mesti mampu berdikari dan menyediakan semua keperluan dalam rantaian pengeluaran sendiri.

“Doakan agar Beras Ganuakan kembali semula ke pasaran dalam tempoh masa terdekat insya-Allah. Jenama Beras Ganu tak mati cuma kita perlu buat penstrukturan semula berdasarkan situasi semasa,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/4/2024