PN putuskan calon PRK Kuala Kubu Bharu Isnin ini

- Advertisement -

KOTA BHARU: PERIKATAN NASIONAL (PN) akan mengadakan mesyuarat majlis tertinggi pada Isnin ini bagi memutuskan calon untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu.

- Advertisement -

Ahli Majlis Tertinggi PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, mesyuarat khas itu akan diadakan di ibu kota pada 22 April pada jam 5 petang.

“Kita akan putuskan calon yang akan bertanding pada mesyuarat yang akan diadakan dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Kawasan Kota Bharu, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut ketika ditanya mengenai calon yang akan bertanding, Takiyuddin berkata, sudah pasti PN akan meletakan calon yang boleh menang.

“Dan sudah tentunya calon yang akan diputuskan dan bakal dipertandingkan itu merupakan calon yang boleh menang,” katanya.

Terahulu media melaporkan Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu (BERSATU), Dato’ Razali Idris berkata, Majlis Presiden PN akan memutuskan calon untuk bertanding pada mesyuarat khas yang akan diadakan dalam tempoh terdekat

PRK DUN Kuala Kubu Bharu diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong, pada 21 Mac lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Kuala Kubu Bharu diadakan pada 11 Mei, manakala hari penamaan calon ditetapkan pada 27 April ini. – HARAKAHDAILY 20/4/2024

- Advertisement -