Park Jaehong ketua jurulatih KDN FC

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kelantan Darul Naim Football Club (KDN FC) mengumumkan Park Jaehong sebagai ketua jurulatih bagi menghadapi saingan Liga Super 2024/2025. 

- Advertisement -

Pengumuman itu dibuat sempena Majlis Pelancaran Jersi dan Pengenalan Pemain KDN FC musim ini di Dataran Stadium Sultan Muhammad ke IV, Kota Bharu, petang semalam.

Jaehong, 46, merupakan bekas pemain kebangsaan Korea Selatan dan ketua jurulatih berpengalaman di negaranya.

Ketika memberitahu media, beliau melahirkan rasa gembira apabila dilamar menjadin ketua jurulatih KDN FC.

Beliau berazam untuk menggunakan pengalaman yang ada sebagai ketua jurulatih sebelum ini untuk membantu pasukan KDN FC.

“Saya begitu teruja dan terima kasih di atas sokongan semua,” ujarnya.

Sebaik sahaja namanya diumumkan sebagai ketua jurulatih KDN FC, Jaheong mendapat sambutan yang begitu hebat apabila penyokong KDN FC menyambutnya dengan sorakan dengan penuh semangat.

Terdahulu beliau dibawa masuk ke dataran stadium dengan kereta Lamborgini berwarna biru dan terus melambaikan tangan kepada kepada semua yang hadir.

Sementara itu Presiden KDN FC, Rozi Muhamad berkata, Jaehong sebenarnya sudah menerima lamaran mengemudi skuad kijang emas sejak Februari lalu. 

Namun, katanya atas beberapa sebab tertentu, pihaknya terpaksa menunda pengumuman posisi Jaehong.

“Sebenarnya beliau mahu datang ke Kota Bharu sebelum Syawal tapi baru tiba tiga hari lalu.

“Jadi kami umumkan kehadiran beliau, hari ini,” katanya.

Bekas pemain bahagian pertahanan itu mempunyai rekod dalam bidang kejurulatihan membabitkan pasukan Bucheon FC dan Yangju Citizen sejak 2015 sehingga kini. 

Terdahulu, pasukan itu turut menyambar empat pemain import ‘Oppa’ iaitu Ri-Gwan Kim (20 tahun),Ahoe Koo (22), Bae Kyeong Hwan (22) dan Jung Byung Ju (21). – HARAKAHDAILY 20/4/2024

- Advertisement -