Banyak tanda tanya di sebalik beras dibuang, dibakar

- Advertisement -

KUANTAN: Kes membuang beras, tepung, mihun dan sardin yang berlaku di Rumpun Makmur, Kuala Krau baru-baru ini menimbulkan banyak tanda tanya.

- Advertisement -

Ketua Penerangan PAS Pahang, Ustaz Aire Roslan berkata, kejadian membuang dan membakar barangan keperluan harian yang berlaku berhampiran dengan tempat tinggalnya telah mendapat liputan meluas di seluruh Malaysia.

Katanya, bekas Ahli Parlimen Kuala Krau, Dato’ Dr Ismail Mohamed Said telah mengeluarkan kenyataan rasmi mengakui bertanggungjawab dengan insiden itu.

Sehubungan itu, ujarnya ada beberapa perkara yang perlu diperhalusi tentang isu berkenaan.

Menruutnya, isu itu adalah isu yang besar kerana ratusan beg beras seperti yang tertera dalam gambar merupakan barangan yang telah menjadi polemik beberapa lama.

“Beras hilang di pasaran dengan tiba-tiba, kenaikan harga barang dan tiba-tiba berlaku isu ini. “Persoalannya, kenapa beras-beras ini boleh berada di tangan individu dalam tempoh yang lama sehingga rosak dalam simpanan? Adakah ini kes terpencil atau ia berlaku di lebih banyak kawasan lain?” tanya beliau dalam satu kenyataan.

Katanya, dikhabarkan beras itu telah dibeli pada 2022 dan tidak diedarkan ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) atas sebab undang-undang pilihan raya.

“Kenapa tidak diagihkan selepas PRU? Adakah ini satu tindakan balas dendam kerana kalah dalam PRU15?” ujarnya lagi.

Menurutnya lagi, bekas Ahli Parlimen itu merupakan Penyelaras DUN Jengka yang telah dilantik oleh UMNO Pahang.

Katanya, tahun lepas sahaja Islam mendapat peruntukan.

Justeru, beliau mempersoalkan bagaimana perkara berkaitan ketelusan peruntukan itu sedangkan berlaku di hadapan mata beras yang adapun dibuang dan dibakar.

Ini, katanya menunjukkan kebuntuan penyelaras dalam mengurus isu rakyat.

“Sedangkan YB-YB daripada PN terpaksa mengeluarkan duit poket sendiri untuk membantu rakyat,” katanya lagi.

Tambahnya, setiap kawasan telah mempunyai wakil yang sah dan berikan kuasa yang secukupnya kepada mereka untuk menguruskan keperluan rakyat.

“Betul kebanyakan barangan tu telah rosak, persoalannya kenapa dibiarkan sehingga rosak sedangkan perkara itu sangat diperlukan oleh rakyat secara harian,” katanya.

Tambahnya, terdapat rakaman sebahagian rakyat yang susah terpaksa mengutip beras-beras tersebut untuk keperluan mereka.

“Diberitakan semua barangan ini dibeli menggunakan duit sendiri. Saya mohon untuk perkara ini disiasat. Rakyat perlukan bukti. Laporan polis telah dibuat.

“Semoga rakyat mendapat pencerahan yang diperlukan,” tambahnya.

Beliau berkata, melakukan kesalahan kemudian memohon kemaafan telah menjadi tabiat politik hari ini.

Katanya, menormalisasikan maaf setelah berlaku kelakuan tidak amanah tidak boleh diteruskan. Justeru, ujar beliau politik Malaysia memerlukan nafas baharu.

“Mereka yang telah terbukti tidak kompeten perlu mengundur diri, beri peluang kepada yang betul-betul ingin memajukan Malaysia.

“Kes ini menimbulkan banyak tanda tanya,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 20/4/2024