ADUN pembangkang Melaka patut diberi peruntukan

Mohd Yadzil Yaakub
- Advertisement -

MELAKA: Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Dr Mohd Yadzil Yaakub menegaskan bahawa pembangkang perlu diberi peruntukan sebagai wakil rakyat untuk digunakan bagi membantu rakyat.

- Advertisement -

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof bahawa Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan di Sri Perdana, Putrajaya baru-baru ini bersetuju untuk memberi peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang.

“Saya menyambut baik keputusan kerajaan untuk menyalurkan peruntukan kepada semua Ahli Parlimen pembangkang.

“Saya amat berharap perkara yang sama juga dilaksanakan kepada semua ADUN pembangkang dari PERIKATAN NASIONAL di setiap negeri,” ujarnya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily sebentar tadi.

Jelasnya, peruntukan patut diberikan untuk memudahkan wakil-wakil rakyat itu untuk menjalankan tugas yang telah diamanahkan kepada mereka.

“Di Melaka hanya dua orang ADUN pembangkang tapi tidak diberikan peruntukan seperti mana yang diterima oleh ADUN kerajaan.

“Saya yakin bukan faktor kemampuan yang menjadi penghalang kerana kerajaan negeri sendiri sanggup berbelanja besar menyediakan kos tambahan untuk membeli kereta rasmi untuk semua jawatan timbalan Exco,” ujarnya.

Beliau yang juga ADUN Bemban dan Pengerusi PERIKATAN NASIONAL negeri juga berharap agar peruntukan wakil rakyat pembangkang tidak lagi menjadi satu perkara pilihan oleh kerajaan.

Katanya, tindakan mengadakan rundingan untuk kerajaan menyalurkan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang tidak sepatutnya berlaku kerana ia adalah hak semua wakil rakyat.

“Wakil rakyat bukan pengemis. Mereka adalah calon yang telah dipilih rakyat untuk mewakili suara rakyat di kawasan masing-masing. Peruntukan yang disediakan adalah juga duit rakyat yang harusnya dikembalikan kepada rakyat.

“Syarat yang diletakkan juga seharusnya sama dengan yang ditetapkan kepada semua wakil rakyat kerajaan dan patut dijadikan satu peraturan yang lazim. Janganlah sampai peruntukan disalurkan tapi syarat yang ditetapkan akan menyulitkan keadaan,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/4/2024

- Advertisement -