Operasi `Janji benar’ berakhir

Mejar Jeneral Mohammad Bagheri - IRNA
- Advertisement -

TEHRAN: Ketua Turus Angkatan Tentera Iran, Mejar Jeneral Mohammad Bagheri, menyatakan bahawa Iran tidak berhasrat untuk meneruskan operasi terhadap Israel dan operasi yang dinamakan `Janji Benar’ telah ditamatkan.

Menurutnya, operasi itu dijalankan kerana rejim Zionis telah melepasi garis merah yang Iran tidak boleh terima.

- Advertisement -

“Tindakan rejim Zionis menyasarkan kedutaan Iran di Damsyik dan menyebabkan Penasihat Undang-Undang Iran yang hadir di negara itu atas jemputan kerajaan Syria syahid melintasi garis merah yang dikecam oleh semua negara kecuali dua atau tiga penyokong rejim Zionis,” katanya.

Beliau berkata, serangan Israel perlu dibalas dan pemimpin tertinggi Iran menyatakan bahawa hukuman mesti dilakukan.

Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran mengeluarkan amaran keras dalam kenyataan kedua yang dikeluarkannya berikutan serangan dron dan peluru berpandu ke atas tapak tentera di wilayah yang diduduki Israel sebagai tindakan balas terhadap serangan rejim ke atas kedutaan Iran di Syria pada 1 April lalu.

Iran memberi amaran kepada Amerika Syarikat (AS) supaya tidak menyokong dan menyertai sebarang tindakan yang memudaratkan kepentingan Iran, serta menjanjikan tindakan balas terhadap ancaman AS dan Israel yang dilakukan dari mana-mana negara.

Sementara itu, pakar strategi pertahanan percaya serangan dron dan peluru berpandu pada skala terhad itu bertujuan untuk memberi amaran kepada Israel bahawa Iran boleh menggunakan keupayaan berbeza dalam taktik mereka.

Penganalisis kanan Institut Dasar Strategi Australia di Washington, Nishank Motwani berkata, Tehran boleh melancarkan serangan berskala besar jika mahu berbuat demikian.

Iran sebelum ini berulang kali memberi amaran mahu ‘menghukum’ rejim Zionis kerana membunuh tujuh anggota IRGC termasuk dua jeneral unit elit Quds ketika melancarkan serangan ke atas konsulat Iran di Damsyik.

Beberapa hari selepas pemgenoman di Damsyik, Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khameni berkata, Israel akan ‘ditampar’ atas perbuatan mereka yang jelas menunjukkan Tehran tidak akan berdiam diri. – IRNA/AFP

- Advertisement -