Israel resah menanti tindak balas Iran

Ayatollah Seyyed Ali Khamenei ketika berucap dalam khutbah selepas solat Aidilfitri pada 10 April 2024. (FOTO: Tehran Times)
- Advertisement -

BAITULMAQDIS: Israel kini berada dalam keresahan menanti tindak balas Iran atau proksinya terhadap pembunuhan kematian seorang jeneral Kor Pasukan Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) dan timbalannya, di kedutaan Iran di Damsyik pada minggu lalu.

Negara-negaran yang termasuk India, Perancis, Poland dan Rusia telah memberi amaran kepada rakyat mereka supaya tidak mengembara ke rantau itu – yang sudah berada dalam medan perang antara pejuang Islam Hamas-Israel, yang kini memasuki bulan ketujuh.

- Advertisement -

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara Rumah Putih, John Kirby berkata ancaman dari Iran adalah nyata dan berdaya maju, lapor Reuters.

Presiden AS, Joe Biden pada Jumaat dalam kenyataan pula berkata, beliau menjangkakan Iran akan menyerang Israel ‘lebih cepat, bukannya kemudian’ dan memberi amaran kepada Tehran untuk tidak meneruskan.

Ditanya oleh wartawan mengenai mesejnya kepada Iran, Biden hanya berkata, ‘Jangan’ (serang Israel), dan beliau menekankan komitmen Washington untuk mempertahankan Israel.

Sementara, Reuters melaporkan pihak tentera Israel berkata ia tidak mengeluarkan arahan baharu kepada orang awam, tetapi meminta orang ramai untuk terus berwaspada.

“Sejak hari lalu, tentera telah menjalankan penilaian situasi dan meluluskan rancangan untuk pelbagai senario berikutan laporan dan kenyataan mengenai serangan Iran,” kata ketua jurucakap tentera Israel, Daniel Hagari dalam satu kenyataan yang disiarkan pada hari Jumaat.

Kementerian luar Israel tidak mengulas mengenai laporan bahawa beberapa misi diplomatik Israel telah dipindahkan sebahagiannya dan keselamatan dipertingkatkan.

“Balas dendam (Iran) akan muncul,” tulis akhbar harian terbesar Israel, Yedioth Ahronoth. “Buat masa ini, apa yang nyata ialah ia akan berlaku tidak lama lagi, dalam beberapa hari akan datang.”

Walaupun media Israel pada mulanya bercakap mengenai serangan 1 April lalu di Kedutaan Iran di Damsyik itu, namun apa yang nyata, muncul kemungkinan akibat daripada tindakan yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Ulasan yang diterbitkan oleh Haaretz mencadangkan bahawa rejim Israel membuat kesilapan dalam menyerang kedutaan dan ia tidak memikirkan ‘akibat’ daripada serangan itu.

Terdahulu, Pemimpin Iran telah mengesahkan dua kali bahawa Iran akan membalas tindakan pengeboman di Kedutaan Iran di Damsyik itu, lapor Tehran Times.

Selepas mengumumkan bahawa Tehran akan membuat Tel Aviv ‘menyesali’ tindakan haramnya, Ayatollah Seyyed Ali Khamenei menolak sebarang keraguan dengan mengatakan Zionis ‘harus dihukum dan akan dihukum’ ketika berucap dalam khutbah selepas solat Aidilfitri yang menandakan berakhirnya bulan puasa Ramadan di Masjid Besar Tehran pada Rabu (10 April) lepas.

Tokoh Islam lain seperti Setiausaha Agung Hizbullah, Seyyed Hassan Nasrallah dan Presiden Iran telah mengulangi kenyataan yang sama.

Pada Khamis, Menteri Luar United Kingdom, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Jerman, Australia, Turkiye, Arab Saudi, dan Iraq mengadakan panggilan telefon dengan rakan sejawatannya dari Iran, Hossein Amir Abdollahian, dilaporkan meminta negara Asia Barat itu untuk ‘mengekang diri’ dan menahan diri daripada ‘ketegangan yang semakin meningkat’ Iran-Israel itu.

AS juga didakwa telah meminta China menghalang Iran daripada membuat tindakan yang dibimbangi terhadap Israel.

Di sebalik kurangnya kutukan Barat terhadap Israel susulan pengeboman kedutaan Iran di Damsyik itu, tetapi yang lebih lantang kedengaran adalah larangan dan usaha untuk menghalang Tehran daripada bertindak balas, ia telah menjadi jelas bahawa tindak balas Iran sedang dalam ‘perjalanan’.

Beberapa laporan media mencadangkan Iran boleh menyerang secara langsung wilayah yang diduduki negara haram Israek dalam tempoh 24 hingga 48 jam akan datang, dengan rangkaian dron dan peluru berpandu canggihnya.

Tidak jelas apa yang Barat cuba capai di sini, tambah laporan Tehran Times, sama ada untuk menghalang peningkatan serantau sepenuhnya atau menghalang satu lagi kekecewaan terhadap ‘kekebalan’ Israel, namun ahli politik Barat harus sedar bahawa penyelesaiannya bukan terletak kepada memaksa Iran untuk terus menentang pencerobohan negara haram itu, tetapi dalam mengekang rejim penyangak di Tel Aviv.

Iran menurut Tehran Times tidak cuba melancarkan perang serantau, namun ia perlu menyerang Israel untuk menghalangnya.

Apabila rejim Zionis bersenjata nuklear dibenarkan untuk melanggar mana-mana undang-undang antarabangsa di luar sana tanpa menghadapi apa-apa akibat, ia menjadi perlu bagi Iran untuk memastikan keselamatannya sendiri.

Laporan media mencadangkan tindak balas Tehran akan dikawal kerana ia hanya bertujuan untuk memulihkan pencegahan.

Di Gaza, Barat telah gagal untuk menegakkan undang-undang yang diperjuangkannya, yang menyaksikan AS dan sekutu Eropahnya membiarkan seluruh enklaf ranap dibom Israel atas sikap acuh tak acuh mereka menyaksikan kematian lebih 34,000 orang awam Palestin.

Walaupun itu hanya mendatangkan kesengsaraan terhadap penduduk awam Palestin di Gaza, ketidakupayaan Barat yang berterusan kini boleh menyebabkan mereka mengalami era baharu pertumpahan darah di Asia Barat yang ‘laungan’ impaknya akan bergema meluas di seluruh dunia.

Barat tidak boleh menghalang Iran daripada menghukum Israel. Ia boleh, bagaimanapun, memaksa Israel untuk menerima hukuman atas sikap kejamnya selama ini terhadap Palestin. – Agensi-HARAKAHDAILY 13/4/2024

- Advertisement -