Ketupat pulut sajian wajib Aidilfitri di Kedah

Ketupat pulut atau ketupat palas antara juadah yang disajikan menjelang Aidilfitri di setiap rumah di Kedah.
- Advertisement -

SETIAP negeri selalunya mempunyai juadah istimewa tersendiri apabila menyambut Aidilfitri, malah sajian berkenaan menjadi kesukaan ramai di hampir setiap rumah, sama ada dalam kalangan keluarga itu sendiri tetamu.

Di Kedah, ketupat pulut atau ketupat palas antara sajian ‘wajib’ penduduk negeri itu, walaupun tidak dapat dikatakan dengan tepat sama ada makanan berkenaan sememangnya berasal dari sini.

Namun kenyataannya, boleh dikatakan ketupat pulut antara juadah yang disajikan menjelang Aidilfitri hampir di setiap rumah di Kedah.

- Advertisement -

Namun, menghasilkan ketupat pulut bukanlah mudah seperti disangkakan apatah lagi memerlukan kemahiran untuk membungkus pulut yang telah siap ditanak bercampur santan.

Sehingga kini kemahiran itu masih ‘melekat’ kepada orang-orang lama sebaliknya kurang berminat untuk diwarisi oleh golongan muda.

Proses penghasilan ‘bungkusan’ ketupat pulut adalah ia dianyam dengan daun palas yang dahulunya mudah didapati di kampung-kampung.

Daun palas akan dibentuk dahulu menyerupai sarung ketupat untuk memudahkan proses membungkus pulut nanti.

Pulut selalunya ditanak atau dikukus (separa masak) kemudiannya dicampur dengan santan pekat dan sedikit garam.

Proses ini juga sebenarnya memerlukan kemahiran dan pengalaman kerana silap adun, ketupat jadi tidak enak, keras atau tidak lemak.

Setelah pulut yang dikukus atau ditanak dengan siap dicampur santan, maka bermulalah proses membungkusnya dengan daun palas.

Proses ini bukan sahaja memerlukan kemahiran tetapi juga kesabaran terutama kepada yang baharu belajar kerana silap bungkus akan menghasilkan ketupat ‘betina’.

Ketupat ‘betina’ kata mereka, akan mengakibatkan ketupat dimasuki air ketika direbus dan hilang kelazatan yang diinginkan.

Ketupat yang telah siap akan direbus atau dikukus dalam tempoh tertentu sehingga masak sepenuhnya.

Selalunya ketupat ini dimasak pada petang raya (iaitu sehari sebelum Hari Lebaran),yang mana waktu itu lebih masyhur dengan ungkapan ‘hari buat ketupat’

Ketupat pulut yang kental, cukup lemak serta sedikit berminyak menjadi pilihan ramai berbanding terlalu lembut atau keras.

Saiz ketupat itu juga tertakluk kepada saiz daun palas, ada yang kecil dan ada yang besar sebesar separuh tapak tangan orang dewasa.

Ketupat pulut sedap dimakan bersama gulai daging atau ayam, mahupun rendang. Namun, terdapat juga yang memilih dimakan bersama susu pekat terutama kanak-kanak.

Sekarang ini ketupat pulut boleh didapati dengan pelbagai variasi seperti ketupat pulut kacang, pulut hitam, jagung dan lain-lain tetapi semuanya bergantung kepada selera dan pilihan masing-masing.

Bagaimanapun di zaman moden sekarang ini, ketupat pulut boleh didapati pada bila-bila masa sahaja tidak menunggu sehingga Aidilfitri, malah ramai pengusaha atau peniaga yang mengambil tempahan juadah itu menjelang Hari Lebaran.

Situasi sedemikian secara tidak langsung memberi kemudahan khusus kepada mereka yang tidak tahu menganyamnya ataupun sibuk dengan tugasan harian.

Sungguhpun begitu, walaupun dilihat memudahkan namun dari sudut lain ada juga kesan negatifnya.

Kemungkinan kebolehan memasak makanan tradisi hari raya masyarakat Kedah itu akan terus pupus yang akhirnya hanya diwarisi oleh golongan yang mengambil manfaat dari sudut ekonomi sahaja. – HARAKAHDAILY 10/4/2024

- Advertisement -